Khamis, 10 Disember 2015 | 11:29am

Anjing Pengesan K9 kawal pintu Stadium Shah Alam

KETUA Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat. - Foto Faiz Anuar
KETUA Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat. - Foto Faiz Anuar

SHAH ALAM: Unit Anjing Pengesan K9 akan ditempatkan di setiap pintu masuk Stadium Shah Alam pada perlawanan akhir Piala Malaysia, Sabtu ini.

Selain Unit K9, polis turut meningkatkan keupayaan pasukan bertugas seramai 2,200 orang anggota dan pegawai termasuk bantuan daripada Majlis Bandaraya Shah Alam dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ketua Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, berkata langkah berkenaan dibuat dalam usaha untuk memperketatkan kawalan keselamatan terhadap lebih 70,000 penyokong yang dijangka akan memenuhi stadium itu malam Sabtu nanti.

"Kesemua pintu stadium juga akan dibuka kepada pengunjung bermula jam 4 petang.

"Bagi penyokong yang tidak dapat masuk ke stadium, FAM akan menyediakan layar televisyen di pekarangan stadium untuk memudahkan mereka menyaksikan perlawanan.

"Penyokong digalakkan datang awal untuk mengelakkan kesesakan di pintu masuk terutama bagi ibu bapa yang turut membawa anak kecil," katanya pada sidang media di sini, pagi tadi.

Berita Harian X