Khamis, 10 Disember 2015 | 8:04am

Sabtu penentu Durakovic cipta sejarah

KETUA jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic. - Foto Hasriyasyah Sabudin.
KETUA jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic. - Foto Hasriyasyah Sabudin.

KUALA LUMPUR: Terlepas sepakan penalti ketika masa tambahan, kemudian ditebus dalam penentuan sepakan penalti untuk menewaskan Sabah 5-4, sekali gus membawa Selangor menjuarai Piala Malaysia pada 1996 adalah antara kenangan paling manis buat ketua jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic.

Ketika itu beliau mencatat namanya selaku pemain import pertama menjadi kapten Selangor dan memenangi kejuaraan berganda Piala Malaysia pada tahun 1996 dan 1997.

Menurut pengendali berusia 50 tahun itu, meskipun bermain pada tiga perlawanan akhir Piala Malaysia sewaktu zaman kegemilangan Merah Kuning itu, edisi 1996 paling diingati kerana beliau nyaris mengecewakan Selangor daripada memenangi piala berprestij itu.

"Selepas terikat 0-0, Selangor dihadiahkan sepakan penalti selepas pemain Sabah, Jelius Anting menjatuhkan Azman Adnan di dalam kotak penalti pada masa tambahan.

"Namun, penalti saya dibaca dengan tepat penjaga gol Sabah, Khairul Azman Mohamed sekali gus menafikan peluang Selangor untuk mendahului perlawanan sehingga aksi akhir terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Namun, Durakovic berjaya menebus kehampaan itu selepas menjaringkan gol pada sepakan penalti penentuan dengan Abu Talib Sulaiman menyudahkan penalti buat Merah Kuning menjadikan kedudukan 5-4 sekali gus membolehkan Selangor muncul juara edisi 1996.

Kini, Durakovic berada pada landasan yang tepat untuk mencipta sejarah tersendiri untuk merangkul Piala Malaysia sebagai jurulatih pada aksi final pertamanya.

"Walaupun begitu, saya meletakkan pasukan terlebih dulu dan tidak mahu memberi tekanan ke atas pemain saya untuk mencapai misi peribadi saya. Jadi saya beri mereka kebebasan untuk bermain dengan cara mereka mengikut taktikal yang ditetapkan.

"Apapun jika dilihat kepada apa yang dilakukan oleh pemain saya sepanjang kempen Piala Malaysia ini, saya yakin kami mampu mengatasi cabaran Kedah dan menghadiahkan kejuaraan buat penyokong Selangor yang sudah menunggu 10 tahun lamanya," katanya.

Durakovic yang pernah menyarung jersi Selangor selama empat musim dari 1995 hingga 1998 mencatat hatrik memenangi Piala Malaysia selepas merangkul trofi tertua di negara ini pada 1995, 1996 dan 1997.

Berita Harian X