Rabu, 9 Disember 2015 | 2:49pm

SAFA panggil dua legenda perkuat persiapan musim depan

TIMBALAN Presiden Dua Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Lawrence Gimbang (tengah) pada sidang media di Kota Kinabalu. - Foto Erdiehazzuan Ab Wahid
TIMBALAN Presiden Dua Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Lawrence Gimbang (tengah) pada sidang media di Kota Kinabalu. - Foto Erdiehazzuan Ab Wahid

KOTA KINABALU: Sebagai usaha memantapkan lagi pasukan, Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) akan membawa masuk dua legenda bola sepak Malaysia, Hassan Sani dan James Wong sebagai sebahagian daripada pengurusan pasukan berkenaan, pada musim depan.

 

Timbalan Presiden 2 SAFA, Datuk Lawrence Gimbang, berkata kehadiran dua bekas pemain yang pernah menjulang nama Malaysia layak ke Sukan Olimpik pada tahun 1980 itu mampu menyuntik semangat pasukan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia 2016.

 

"SAFA ingin mengumumkan dua legenda bola sepak tanah air iaitu Hassan dan James akan terbabit secara langsung bersama pasukan musim depan.

 

"Bagaimanapun, bidang tugas mereka akan kami umumkan kemudian," katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani kontrak pegawai pasukan dan jurulatih skuad Badak di pejabat SAFA, di sini, kelmarin.

 

Yang turut hadir, Setiausaha Agung SAFA, Alijus Sipil.

 

Lawrence berkata, pihaknya turut berharap penyokong setia Sabah akan terus memberi sokongan kepada pasukan itu musim depan.

 

"Sudah pasti, semua pihak mahu yang terbaik untuk musim baru tahun depan dan kami berharap agar penyokong akan terus setia bersama pasukan," katanya.

Berita Harian X