Jumaat, 20 November 2015 | 10:10pm

Chong Wei jinak Chen Long lagi

DATUK Lee Chong Wei. - Foto AFP
DATUK Lee Chong Wei. - Foto AFP

KUALA LUMPUR: Datuk Lee Chong Wei menundukkan jaguh China, Chen Long pada saingan suku akhir badminton Terbuka Hong Kong di Coliseum, Hong Kong sebentar tadi.

Kejayaan ke atas pemain nombor satu dunia itu, 13-21, 21-19, 21-15 sekali gus membolehkan dia mara ke saingan separuh akhir Terbuka Hong Kong esok.

Sebelum ini, dia juga menumbangkan juara dunia itu untuk merangkul kejuaraan Terbuka China di Fuzhou.

Chong Wei, 33, yang kini menduduki tangga keenam dunia, bakal bertemu pemain tuan rumah, Angus Ng Ka-Long yang sebelum itu mengejutkan juara Olimpik dua kali, Lin Dan pada pusingan kedua.

Pada aksi separuh akhir, Angus menewaskan pemain Taiwan, Chou Tien Chen, 21-17, 15-21, 21-15.

Dalam aksi suku akhir, Chen Long menang 21-13 pada set pertama, namun pada set kedua, Chong Wei pantas bangkit pada penghujung saingan untuk menang 21-19.

Pada set penentuan yang penuh mendebarkan itu, jaguh negara itu mudah menjinakkan lawannya meskipun ditentang hebat pada aksi awal untuk menang 21-15.

Sementara itu, beregu Goh V Shem-Tan Wee Kiong gagal meneruskan kemaraan apabila tewas 21-15, 21-12 kepada gandingan China, Chai Biao-Hong Wei.

Berita Harian X