Selasa, 17 November 2015 | 3:54pm
JURULATIH Brazil, Dunga. - Foto AP
JURULATIH Brazil, Dunga. - Foto AP

Penyokong Brazil perlu bersabar: Dunga

SAO PAULO, Brazil: Juara dunia lima kali, Brazil tidak pernah tewas di Stadium Fonte Nova, Salvador namun peminat pasukan itu perlu bersabar ketika melayan kunjungan Peru, esok bagi kempen kelayakan Piala Dunia 2018, kata jurulatihnya, Dunga.

"Peminat perlu tahu betapa pentingnya untuk menyokong pasukan mereka," kata Dunga yang dianggap calon tidak popular buat peminat memegang jawatan terbabit.

"Kadang kala gol hanya hadir pada babak kedua, butirannya adalah penting, kami perlu bersabar tanpa terlalu menekan, peminat perlu memahaminya."

Kempen Brazil pada kelayakan kali ini agak terumbang ambing selepas tewas perlawanan pertama kepada Chile, menang ke atas Venezuela dan seri bertemu Argentina.

Gergasi bola sepak dunia itu ketika ini menghuni kedudukan keempat kelayakan dengan pasukan di kedudukan empat teratas meraih tiket automatik ke Russia.

Pemain kelahiran Salvador, Dani Alves berkata kritikan terhadap Dunga yang kurang popular dan pasukan Brazil sebagai keterlaluan dan menggesa peminat dan media kembali menyokong mereka.

"Saya benar-benar percaya tenaga dan tenaganya sentiasa amat kuat di Brazil, ia agak lemah di luar negara," kata Alves yang memulakan kariernya bersama kelab Bahia yang beraksi di Fonte Nova.

"Negara kami amat kuat mengkritik dan tidak begitu bersabar. Jika kami berada di laluan yang sama, kami akan bergerak lebih pantas."

Peru dalam pada itu berada di prestasi memberangsangkan selepas mencatat kemenangan pertama dalam kempen kelayakan kali ini selepas menewaskan Paraguay, 1-0 pada Jumaat lalu. - REUTERS

Berita Harian X