Rabu, 11 November 2015 | 1:27pm
VIDEO Martin Kaymer dipaparkan pada sidang media pelancaran saingan golf Kejohanan Malaysia Maybank 2016 di Royal Selangor Golf Club. - Foto Osman Adnan
VIDEO Martin Kaymer dipaparkan pada sidang media pelancaran saingan golf Kejohanan Malaysia Maybank 2016 di Royal Selangor Golf Club. - Foto Osman Adnan

156 sertai golf Kejohanan Malaysia Maybank 2016

KUALA LUMPUR: Seramai 156 pemain golf, termasuk bekas pemain nombor satu dunia, Martin Kaymer dan Louis Oosthuizen akan menyertai Kejohanan Malaysia Maybank 2016 di Royal Selangor Golf Club (RSGC), di sini, 18 hingga 21 Februari depan.

Kejohanan sulung yang mendapat pengiktirafan European Tour dan Asian Tour ini, menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$3 juta (RM13.10 juta).

Ia juga saingan golf paling mewah di Asia Tenggara dan satu daripada enam kejohanan di Asia yang disertai pemain European Tour.

Kejohanan ini juga menyumbang mata kepada pemain untuk Race To Dubai dan Asian Tour Order of Merit.

Pengerusi Maybank, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Moh Nor melancarkan kejohanan itu di RCGC, sebentar tadi.

Hadir sama Presiden RSGC, Tan Sri Yong Poh Kon; Ketua Pegawai Operasi European Tour, Keith Waters dan Pengerusi Asian Tour, Kyi Hla.

Mengikut kenyataan media penganjur, seramai 67 pemain European PGA Tour akan menyertai kejohanan ini.

Selain itu, jumlah sama juga pemain dari Asian Tour akan turut menyertai kejohanan menerusi jemputan automatik dari penganjur.

Manakala 10 pemain lagi menerusi kelayakan Profesional Golf of Malaysia (PGM) dan Professional Golfers Association of Malaysia (PGAM).

Turut dijemput dua pemain profesional Malaysia, seorang pemain dari Middle East North African Tour (MENA), dua pemain terbaik bukan ahli European Tour dan Asian Tour serta masing-masing satu pemain amatur Malaysia daripada Amatuer World Rankings dan Asian Pacific Amatuer Masters Champion.

Karmer dan Oosthuizen adalah pemain antarabangsa profesional pertama mengesahkan penyertaan dalam kejohanan ini.

Oosthuizen adalah juara Terbuka Malaysia 2012 dan ketika ini menduduki ranking ke-13 dunia dan keempat dalam The Race To Dubai.

Kaymer pula adalah juara Terbuka Malaysia Maybank 2011 ketika menjadi pemain nombor satu dunia dan juara Kejohanan PGA Amerika Syarikat 2010.

Berita Harian X