Ahad, 8 November 2015 | 9:49pm

2,000 sertai OCBC Cycle KL2015

SEBAHAGIAN daripada peserta yang mengambil bahagian dalam acara perlumbaan OCBC Cycle KL 2015 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA
SEBAHAGIAN daripada peserta yang mengambil bahagian dalam acara perlumbaan OCBC Cycle KL 2015 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kira-kira 2,000 penunggang basikal daripada semua lapisan masyarakat memenuhi bandar raya pagi ini untuk cabaran OCBC Cycle KL 2015 sejauh 42 kilometer.

Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Al-Amin Bank Berhad, Syed Abdul Aziz Syed Kechik berkata orang ramai turut teruja apabila penunggang terbaik dari Asia Tenggara berkumpul untuk bersaing pada kelajuan yang jarang dilihat di pusat bandar.

Acara itu turut membawa pelbagai pemain di rantau ini yang terbabit dalam aktiviti berbasikal, bekalan berkaitan basikal, pakaian sukan, basikal, peralatan dan alatan basikal dan lain-lain yang mengambil bahagian dalam Bike Mart di bahagian bawah tanah Dataran Merdeka.

ASEAN Cycle Fest turut memaparkan kriterium selama satu jam untuk penunggang elit dari ASEAN.

"Idea di sebalik OCBC Cycle KL 2015 tercetus daripada pengalaman OCBC Bank sebagai penaja utama OCBC Cycle Malaysia yang sangat popular sejak empat tahun lepas serta pengenalan OCBC KL Car Free Morning tahun lalu.

"Kami membuat pelaburan yang besar untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif bagi menawarkan tunggangan kepada semua tanpa mengira pengalaman menunggang dan umur.

"Kini, dengan pengenalan penajaan utama kami kepada KL Car Free Morning, kami sudah pun memenuhi keperluan penunggang santai dan kanak-kanak dalam kalangan kita," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

OCBC Bank (Malaysia) Berhad adalah penaja utama OCBC Cycle KL 2015 dan dianjurkan oleh Multigreen Events.

Ia adalah sebahagian daripada ASEAN Cycle Fest, yang disokong Kementerian Luar, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia.

Laluan itu, menampilkan lima pusingan lingkaran sepanjang 8.4km di jalan-jalan bandar, dilepaskan di Dataran Merdeka menyusuri Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang dan Jalan P Ramlee, sebelum kembali ke Jalan Ampang menuju ke Jalan Dang Wangi, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Raja dan Jalan Sultan Hishamuddin.

Laluan itu turut melalui liku di bulatan Masjid Negara sebelum para peserta kembali ke Dataran Merdeka.

-- BERNAMA

Berita Harian X