Sabtu, 28 November 2015 | 6:50pm

Kenya gantung tujuh atlet olahraga kerana doping

PELARI pecut, Francisca Koki dan Joyce Zakari .
PELARI pecut, Francisca Koki dan Joyce Zakari .

NAIROBI, Kenya: Tujuh atlet olahraga Kenya, termasuk dua pelari pecut negara itu yang dihantar pulang daripada Kejuaraan Dunia di Beijing, China, Ogos lalu digantung dua dan empat tahun akibat kesalahan doping.

Pelari pecut, Francisca Koki dan Joyce Zakari yang digantung sementara oleh Persekutuan Persatuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) daripada beraksi di China dijatuhkan hukuman penggantungan selama empat tahun.

Kedua-duanya didapati bersalah kerana menggunakan bahan terlarang, Furosemide.

Juara dunia dua kali dalam acara rentas desa, Emily Chebet juga dijatuhkan gantung selama empat tahun atas kesalahan sama.

Pelari maraton Agnes Cheserek yang diuji positif menggunakan bahan Norandrosterone juga digantung empat tahun manakala tiga daripada atlet, Bernard Mwendia, Judy Kimuge dan Lilian Moraa Mariita masing-masing dihukum gantung selama dua tahun.

Mariita yang juga naib juara separuh maraton Miami pada 2012 didapati bersalah menggunakan hormon terlarang, EPO.

Awal minggu ini, atlet-atlet olahraga Kenya mengepung ibu pejabat Olahraga Kenya (AK) di Niarobi sebagai protes terhadap rasuah dan kekurangan usaha untuk memperjuangkan doping dalam sukan itu. - AFP

Berita Harian X