Rabu, 21 Oktober 2015 | 10:27am

Perenang negara dominasi Anugerah Sukan Sarawak

Wilson Sim Wee Sheng (kiri) dan Erika Kong Chia Chia masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati 2013/2014 Sarawak.
Wilson Sim Wee Sheng (kiri) dan Erika Kong Chia Chia masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati 2013/2014 Sarawak.

MIRI: Dua perenang negara, Wilson Sim Wee Sheng dan Erika Kong Chia Chia masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati 2013/2014 Sarawak pada majlis Anugerah Sukan Negeri di sini, malam tadi.

Kedua-dua perenang itu yang mewakili negara pada Sukan SEA 2013 di Myanmar masing-masing membawa pulang hadiah wang berjumlah RM5,000, trofi dan sijil.

Turut mendapat penghargaan ialah atlet olahraga paralimpik wanita, Sandra Tiong untuk Anugerah Olahragawati Paralimpik manakala pemain badminton Suhaili Laiman bagi Olahragawan Paralimpik dengan setiap seorang memenangi RM2,500,trofi dan sijil.

Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem menyampaikan keempat-empat anugerah utama itu.

Anugerah Pasukan Wanita Terbaik dan Pasukan Lelaki Terbaik, masing-masing dimenangi pasukan bola tampar wanita dan lelaki Sarawak.

Jurulatih angkat berat paralimpik, Jamil Adam pula dipilih menjadi Jurulatih Sukan Terbaik Paralimpik; jurulatih hoki wanita, Catherine Lambor (Jurulatih Sukan Terbaik) manakala ketua jurulatih Persatuan Bola Tampar Sarawak, Datuk Moh Wung Ming menjadi penerima Kepimpinan Sukan Terbaik.

Turut memenangi anugerah ialah atlet gimnastik Esmelda Menti Alfred Geling (Olahragawati Harapan) dan atlet taekwondo Mohd Amirul Juwanda (Olahragawan Harapan).

Pada majlis sama, Adenan turut memperkenalkan maskot SUKMA ke-18 yang diadakan tahun depan iaitu burung kenyalang yang diberi nama Satria serta website rasmi www.sukmasarawak2016.my.

Sebanyak 24 jenis sukan akan dipertandingkan dalam temasya yang bakal berlangsung pada 22 hingga 31 Julai 2016 dengan Bandaraya Kuching, Kota Samarahan, Sibu dan Miri dipilih untuk menjadi gelanggang.

Ia akan membabitkan lebih 9,000 atlet, pegawai sukan dan media. - BERNAMA

Berita Harian X