Rabu, 14 Oktober 2015 | 12:35pm

Argentina terus buntu, Brazil cipta kebangkitan

PEMAIN Argentina, Angel Di Maria (kiri) berebut bola dengan pemain Paraguay, Richard Ortiz pada perlawanan di Asuncion, Paraguay. - Foto AP
PEMAIN Argentina, Angel Di Maria (kiri) berebut bola dengan pemain Paraguay, Richard Ortiz pada perlawanan di Asuncion, Paraguay. - Foto AP

SAO PAULO: Naib juara Copa America, Argentina terus gagal meraih kemenangan dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018 zon Amerika Selatan selepas seri 0-0 menentang Paraguay, hari ini ketika Brazil bangkit mencatat kemenangan 3-1 ke atas Venezuela.

Tanpa kelibat beberapa bintang utama termasuk Lionel Messi dan Sergio Aguero, bekas penyerang Juventus, Carlos Tevez ditugaskan memburu jaringan buat Argentina namun peluang terbaiknya menerusi hantaran Angel Di Maria di babak pertama sekadar melepasi palang gol.

Tevez kemudian mengalami kecederaan pada awal babak kedua apabila hidungnya patah selepas di siku pertahanan Paraguay, Victor Caceres sebelum digantikan pada minit ke-75.

Keputusan seri menyaksikan naib juara Piala Dunia itu terus buntu mengutip tiga mata penuh selepas mencatat kekalahan 2-0 pada aksi pertama menentang Ecuador.

PEMAIN Brazil, Oscar (kiri) bersaing untuk mendapatkan bola dengan pemain Venezuela, Roberto Rosales pada aksi di Fortaleza, Brazil. - Foto EPA
PEMAIN Brazil, Oscar (kiri) bersaing untuk mendapatkan bola dengan pemain Venezuela, Roberto Rosales pada aksi di Fortaleza, Brazil. - Foto EPA

Brazil dalam pada itu mencatat kemenangan selepas kekalahan 2-0 kepada Chile, minggu lalu.

Tanpa bintang Barcelona, Neymar, pemain Chelsea, Willian tampil menyinar dengan meledak dua gol bermula seawal 40 saat permainan bermula sebelum menambah gol kedua peribadi pada minit ke-42.

Venezuela merapatkan jurang menerusi jaringan Christian Santos pada minit ke-64 namun Brazil menambah gol ketiga menerusi Ricardo Oliveira pada minit ke-74.

Dalam pada itu, Uruguay dan Ecuador meneruskan rentak kemenangan di peringkat kumpulan.

Uruguay menewaskan Colombia 3-0 manakala Ecuador menang 2-0 di laman sendiri bertemu Bolivia. - AFP

Berita Harian X