Khamis, 8 Oktober 2015 | 6:26pm

Kos fasa 1&2 persediaan atlet Sukan SEA 2017 cecah RM45 juta

AB Jalil menunjukkan risalah Program Kita Juara di MSN hari ini. - Foto Osman Abdullah
AB Jalil menunjukkan risalah Program Kita Juara di MSN hari ini. - Foto Osman Abdullah

KUALA LUMPUR: Kos persediaan atlet untuk Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur bagi fasa satu dan dua membabitkan perbelanjaan antara RM43 juta dan RM45 juta.

Pemangku Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ab Jalil Abdullah, berkata RM11 juta daripada perbelanjaan itu adalah untuk pembayaran elaun 842 atlet daripada 37 jenis sukan setakat ini.

Pelaksanaan fasa satu bermula September lalu bagi tempoh setahun diikuti fasa dua yang bermula Oktober 2016 sehingga Mac 2017 dan kos itu dijangka bertambah bagi fasa terakhir dari April 2017 sehingga September 2017.

Kos terbabit merangkumi perbelanjaan atlet bagi menghadapi kejohanan dan latihan di dalam dan luar negara serta program binaan seperti bengkel, penganjuran kejohanan dan mesyuarat.

"Perbelanjaan itu juga meliputi khidmat jurulatih luar negara iaitu membabitkan 59 orang dan jurulatih tempatan sepenuh masa 80 orang. Jumlah jurulatih dan atlet ini juga dijangka bertambah.

"Majlis Olimpik Malaysia mengumumkan jumlah acara sukan bertambah daripada 37 kepada 39 jenis sukan.

Namun senarai akhir sukan yang dipertandingkan belum dimuktamadkan," katanya kepada pemberita pada sidang media persediaan atlet Sukan SEA 2017 'Program Kita Juara' di MSN di sini hari ini.

Ab Jalil berkata pemilihan atlet untuk Program Kita Juara juga perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Kriteria itu adalah pemenang pingat emas Sukan SEA 2015, Sukan Asia dan Sukan Komanwel 2014, pemenang Kejohanan Remaja Asia dan Remaja Dunia, atlet dan pasukan yang berada dalam 16 terbaik dunia, ranking kelapan di Asia dan ranking lima terbaik di Sukan SEA.

Selain akuatik dan olahraga yang wajib dipertandingkan di Sukan SEA, sukan lain yang disenaraikan dalam pelaksanaan fasa satu ialah badminton, berbasikal, angkat berat, bola jaring, bola keranjang, bola sepak, biliard dan snuker, bola tampar, ekuestrian, gimnastik, golf, hoki ais, hoki, judo dan karate.

Selain itu, lawan pedang, boling padang, luncur ais, memanah, menembak, olahraga, pelayaran, pencak silat, petanque, ping pong, polo, ragbi, sepak takraw, ski air, skuasy, taekwondo, tenis, tenpin boling dan tinju, triathlon dan wushu turut disenaraikan. - BERNAMA

Berita Harian X