LONDON: Harry Kane menjaringkan gol pertamanya pada musim ini bagi membantu Tottenham Hotspur bangkit untuk membenam calon awal kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) Manchester City, 4-1, di White Hart Lane, sebentar tadi.
Pun begitu, City mendominasi aksi separuh masa pertama dan berjaya mendahului tuan rumah pada minit ke-25 menerusi Kev De Bruyne.
Namun sebelum wisel penamat babak pertama dibunyikan pengadil, Eric Dier berjaya menyamakan kedudukan, sebelum Toby Alderweireld meletakkan skuad Spurs di depan pada minit ke-50 untuk kedudukan 2-1.
Kane yang kemarau gol setakat ini selepas meledak 31 pada musim lalu, akhirnya berjaya menyenaraikan nama sebagai penjaring apabila menggegar gawang City pada minit ke-61 bagi menjadikan kedudukan 3-1.
Erik Lamela kemudian tampil dengan jaringan menarik pada minit ke-79 untuk memastikan Spurs mengutip mata penuh dengan kemenangan selesa, 4-1 untuk mengecewakan City.
Kemenangan itu membolehkan Tottenham melonjak ke tangga kelima liga dengan himpunan 12 mata, manakala City terus kekal di puncak dengan 15 mata.
Namun kedudukan pasukan bimbingan Manuel Pellegrini akan berubah sekiranya Manchester United dapat menundukkan Sunderland di Old Trafford sebentar nanti. - AP