X
Selasa, 22 September 2015 | 6:23pm
JURULATIH pasukan Futsal Wanita Negara, Chiew Chun Yong (kanan) . - Foto BERNAMA
JURULATIH pasukan Futsal Wanita Negara, Chiew Chun Yong (kanan) . - Foto BERNAMA

Futsal: Malaysia catat kemenangan kedua, benam Hong Kong 4-1

KUALA LUMPUR: Skuad futsal wanita negara merakam kemenangan kedua berturut-turut dalam Kejohanan Futsal Wanita Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2015 di Nilai, Negeri Sembilan selepas menewaskan Hong Kong 4-1, sebentar tadi.

Pada perlawanan Kumpulan A yang berlangsung di Stadium Tertutup Nilai itu, Malaysia begitupun terlebih dulu ketinggalan seawal minit kelima perlawanan hasil jaringan Wong So Han.

Begitupun, kedudukan kembali seimbang hasil jaringan sendiri pemain Hong Kong pada minit ketujuh.

Fatin Shahida meletakkan Malaysia di depan pada minit ke-30 sebelum Farahiyah menjaringkan dua gol berselang dua minit pada minit ke-33 dan 35.

Pada perlawanan pertama peringkat kumpulan, Malaysia yang dibimbing jurulatih Chiew Chun Yon menewaskan Uzbekistan 9-4.

Lawan Malaysia esok ialah pasukan pilihan, Iran dengan sasaran skuad kebangsaan adalah kedudukan empat pasukan terbaik.

Kejohanan Futsal Wanita AFC 2015 adalah edisi pertama dan disertai lapan pasukan dengan Kumpulan B dianggotai Jepun, China, Thailand dan Vietnam.

Dua pasukan teratas peringkat kumpulan layak ke separuh akhir.

Berita Harian X