Ahad, 20 September 2015 | 9:34pm

Malaysia ungguli Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa Piala TPM 2015

TIMBALAN Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah (tengah) bergambar bersama peserta pada kejohanan Pencak Silat Antarabangsa Piala Timbalan Perdana Menteri edisi ke-6 di Berjaya Megamall, Kuantan. - Foto Farizul Hafiz Awang
TIMBALAN Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah (tengah) bergambar bersama peserta pada kejohanan Pencak Silat Antarabangsa Piala Timbalan Perdana Menteri edisi ke-6 di Berjaya Megamall, Kuantan. - Foto Farizul Hafiz Awang

KUANTAN: Malaysia mengungguli Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa Piala Timbalan Perdana Menteri 2015 peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) yang berakhir di sini, hari ini.

Ia hasil kejayaan kontinjen negara menyapu bersih lapan pingat emas yang dipertandingkan bagi kategori antarabangsa.

Empat pesilat negara juga dinobatkan sebagai pesilat terbaik keseluruhan.

Mereka adalah Muhammad Faizul M Nasir, 27, dari Univesiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi kategori Pesilat Terbaik Putra Antarabangsa manakala Pesilat Terbaik Putri Antarabangsa dimenangi Siti Shazwana Ajak, 23, dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Penuntut Kolej Komuniti Pahang (KK Pahang) Muhamad Zarish Hakim, 23, dan wakil Universiti Malaya (UM), Normanjalina Madon, 24, dinobatkan sebagai Pesilat Terbaik Putra dan Putri bagi kategori IPT Tempatan Terbaik.

Bagi kategori IPT Antarabangsa, kontinjen Malaysia Elit mengutip lima pingat emas untuk muncul juara, diikuti kontinjen Malaysia IPT (3 emas, 3 perak dan 2 gangsa) manakala kontinjen Vietnam di tempat ketiga (2 perak dan 3 gangsa).

Sementara itu, Politeknik Ungku Omar muncul juara bagi kategori IPT Tempatan dengan empat emas dan dua perak untuk mengatasi KK Pahang di tempat kedua (4 emas, 1 perak dan 2 gangsa) manakala tempat ketiga milik Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) (4 emas dan 4 gangsa).

PESILAT terbaik Putri dan Putra Antarabangsa, Siti Shazwana Ajak (kiri) dan Muhammad Faizul M Nasir (kanan) bersama trofi dan pingat yang mereka perolehi pada kejohanan Pencak Silat Antarabangsa Piala Timbalan Perdana Menteri edisi ke-6 di Berjaya Megamall, Kuantan. - Foto Farizul Hafiz Awang
PESILAT terbaik Putri dan Putra Antarabangsa, Siti Shazwana Ajak (kiri) dan Muhammad Faizul M Nasir (kanan) bersama trofi dan pingat yang mereka perolehi pada kejohanan Pencak Silat Antarabangsa Piala Timbalan Perdana Menteri edisi ke-6 di Berjaya Megamall, Kuantan. - Foto Farizul Hafiz Awang

Siti Shazwana, 23, yang mula aktif dalam seni mempertahankan diri itu sejak 2012, menyifatkan kemenangannya sebagai penebus kekecewaan selepas hanya mendapat tempat ketiga pada kejohanan sama tahun lepas.

"Untuk tahun ini, saya menjalani latihan intensif beberapa bulan sebelum kejohanan, khusus untuk menajam kemahiran yang dapat membantu mendapat pungutan mata," katanya semasa ditemui selepas majlis penutup dan penyampaian hadiah di sini.

Muhammad Faizul yang juga penuntut jurusan mekanikal UTM pula memberitahu ia kali kedua memenangi kategori Pesilat Terbaik Putra Antarabangsa selepas kali pertama pada tahun 2012.

Sebanyak 17 kontijen mengambil bahagian dalam kategori antarabangsa termasuk Malaysia, Vietnam, Singapura, Korea, India, Yaman dan Indonesia manakala 32 universiti awam dan institusi pengajian tinggi swasta bertanding bagi kategori IPT Tempatan.

Kejohanan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM8,000 dan piala.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Presiden Pesaka, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah. - BERNAMA

Berita Harian X