SINGAPURA: Pelumba Ferrari, Sebastian Vettel menafikan hasrat pelumba Mercedes AMG PETRONAS, Lewis Hamilton untuk merekod kejayaan petak pertama kelapan berturut-turut dengan mendominasi sesi kelayakan Grand Prix Singapura, hari ini.
Juara dunia empat kali itu merekodkan masa terpantas 1 minit 43.885 saat di atas litar jalanan untuk memulakan perlumbaan di petak petak pertama selepas hampir dua tahun.
Petak kedua menjadi milik pelumba Red Bull yang juga bekas rakan sepasukannya, Daniel Ricciardo manakala seorang lagi pelumba Ferrari, Kimi Raikkonen mencatatkan masa ketiga terpantas.
Pelumba Russia dan rakan sepasukan Ricciardo, Daniil Kvyat mencatatkan masa keempat terpantas.
Hamilton yang ketika ini mengungguli senarai pelumba terpaksa berpuas hati memulakan perlumbaan di barisan ketiga apabila mencatatkan masa kelima terpantas.
Rakan sepasukannya, Nico Rosberg pula mencatat masa keenam terpantas.
Andai berjaya menduduki petak pertama di Singapura, Hamilton akan menyamai rekod dipegang legenda, Ayrton Senna yang dibuatnya pada tahun 1988 dan 1989. - AFP