Isnin, 14 September 2015 | 6:25pm

Djokovic idam kejayaan lebih gemilang selepas gelaran ke-10

NOVAK Djokovic. - Foto AFP
NOVAK Djokovic. - Foto AFP

NEW YORK: Hanya enam pemain dalam sejarah tenis berjaya memenangi lebih gelaran Grand Slam berbanding Novak Djokovic yang merangkul kejuaraan ke-10 gelaran elit itu, hari ini dengan menewaskan Roger Federer di final Terbuka Amerika Syarikat (AS).

Pemain nombor satu dunia, Djokovic menafikan Federer 6-4, 5-7, 6-4, 6-4 untuk memenangi gelaran ketiga Grand Slam tahun ini yang meletakkan namanya selaku legenda tenis dunia.

Sasarannya pemain kelahiran Serbia itu kini adalah untuk memburu rekod 17 kejuaraan Grand Slam yang dipegang Federer.

"Saya mendapat angka dua digit sekarang dan saya amat gembira dan berbangga untuk berada dalam kumpulan elit pemain, legenda dalam sukan ini yang berjaya memenangi sebegitu banyak trofi Grand Slam dalam karier mereka," kata Djokovic.

"Untuk disebut bersama-sama mereka adalah sesuatu yang istimewa," katanya.

Bintang tenis Sepanyol, Rafael Nadal dan legenda AS, Pete Sampras berkongsi kedudukan kedua dengan 14 kejuaraan diikuti Roy Emerson (12) dengan legenda Australia Rod Laver dan Bjorn Borg memiliki 11 gelaran.

"Saya di usia 28 tahun. Saya sentiasa menghargai penjagaan badan saya, dan juga minda saya.

"Saya akan meneruskan gaya hidup yang sama. Harapnya pendekatan yang sama akan memberikan saya umur yang panjang dan saya memiliki banyak lagi tahun dan peluang untuk bersaing merebut trofi ini," katanya. - AFP

Berita Harian X