Selasa, 8 September 2015 | 7:11pm
KEJOHANAN Tenis Terbuka Malaysia 2015
KEJOHANAN Tenis Terbuka Malaysia 2015

Tenis: 4 wakil negara dapat wild card Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR: Empat wakil Malaysia diberikan penyertaan wild card pada Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia 2015 yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah AS$1,041,540 (RM4,526,239), menurut Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) dan penganjur, IMG hari ini.

Mereka ialah tiga pemain perseorangan, Syed Mohd Agil Syed Naguib, Ahmad Deedat Abdul Razak dan Mohd Ashaari Zainal Abidin.

Selain itu, Mohd Assri Merzuki pula akan berganding dengan pemain nombor satu Malaysia, Syed Mohd Agil dalam undian utama acara beregu pada kejohanan itu, yang berlangsung di Stadium Putra dari 26 September hingga 4 Oktober ini.

Presiden LTAM, Tan Sri Abdul Razak Latiff berkata, penyertaan wakil negara sebagai pemain wild card meningkat secara konsisten sejak Terbuka Malaysia diperkenalkan tujuh tahun lalu.

Selama dua tahun berturut-turut, Terbuka Malaysia akan menampilkan dua pemain berada dalam ranking Jelajah Dunia ATP, menandakan inisiatif yang diperoleh menerusi penganjuran kejohanan berkenaan.

"Berikutan peningkatan standard pemain kita, kami teruja pemain negara sekali lagi mendapat manfaat daripada penyertaan wild card dalam undian utama acara beregu dan tambahan tiga kelayakan wild card.

"Pengalaman diperoleh beraksi menentang pemain profesional kelas dunia ATP adalah sangat berharga, tatkala kita berterusan melahirkan pemain tempatan kelas dunia yang akan menyertai Jelajah Dunia ATP di Kuala Lumpur dan juga kejohanan Jelajah antarabangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kejohanan dan Naib Presiden Kanan IMG yang juga Ketua Tenis Asia, Nick Freyer memuji perkembangan bakat muda negara yang telah memperlihatkan peningkatan signifikan dalam tahap permainan serta keputusan pertandingan.

Digabungkan dengan pencapaian terkini beberapa pemain muda Malaysia di peringkat antarabangsa memperlihatkan perubahan positif kepada sukan tenis Malaysia yang kini semakin mantap, katanya. - BERNAMA

Berita Harian X