Isnin, 7 September 2015 | 2:21pm

400 pesilat berentap pada Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR: Pasukan Tentera Vietnam dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah antara dua pasukan yang bakal berentap dalam Kejuaraan Silat Terbuka Malaysia selain 25 pasukan lain dari dalam dan luar negara.

Lebih unik kejuaraan yang dianjurkan semula selepas kali terakhir pada tahun 1991 bakal memberi peluang kepada 15 pasukan dalam negara mencungkil pengalaman bertanding di peringkat antarabangsa.

Jika Kejuaraan Silat Dunia yang mempertemukan pasukan negara, Kejuaraan Silat Terbuka Malaysia lebih sengit dan meriah kerana hampir 400 pesilat dari 27 pasukan dalam dan luar negara akan berkampung bermula 8 hingga 12 September ini di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Datuk Megat Zulkarnain Omardin, berkata kejuaraan ini amat unik kerana semua pesilat di peringkat negeri berpeluang menimba pengalaman bertanding dengan pesilat di peringkat antarabangsa.

Katanya, selama ini hanya pesilat yang mewakili negara ada peluang berentap dengan pesilat negara lain tapi dalam kejuaraan ini, peluang itu lebih luas, malah ia satu cabaran kepada pesilat elit negara untuk mempertahankan kedudukan mereka.

"Ramai sebenarnya pesilat yang bagus di negeri tetapi kerana kurangnya peluang dan pendedahan, mereka tidak dapat diketengahkan. Kejuaraan ini bakal menjadi pentas kepada mereka membuktikan kemampuan dan siapa tahu mereka boleh dipilih mewakili negara.

"Pesilat elit negara perlu berhati-hati dan meningkatkan kualiti permainan mereka kerana jika ada pesilat negeri yang menunjukkan mereka layak mewakili negara, ada kemungkinan kedudukan itu akan diambil alih.

"Lebih unik dalam kejuaraan ini ialah ada beberapa negara yang belum pernah bertanding di peringkat antarabangsa turut menghantar pesilat. Korea Selatan antaranya yang dilihat cukup bersedia dan mampu menggegarkan pentas silat dunia," katanya.

Selain Korea Selatan, satu pasukan yang dilihat bakal memberikan keunikan dalam kejuaraan kali ini ialah Tentera Vietnam yang juga pertama kali mengetengahkan pasukan silatnya di pentas antarabangsa.

"Pasti menarik. Vietnam hantar pasukan tenteranya. Malaysia juga ada hantar pasukan pesilat tentera. Pasti meriah. Bukan itu saja, negara lain seperti Belanda juga hantar dua pasukan selain penyertaan dari Thailand, India, Uzbekistan, Singapura dan Australia.

"Dari Malaysia pula, 15 pasukan sudah mengesahkan penyertaan iaitu Wilayah Persekutuan Labuan, Kedah, Perak, Kuala Lumpur, Melaka, Pahang, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor, Johor, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Gayong Malaysia, Sabah, Negeri Sembilan dan Kelantan," katanya.

Ketika ditanya apa tarikan utama menarik begitu banyak penyertaan luar, Megat berkata, rekod penganjuran terbaik negara ini dalam beberapa siri kejuaraan antarabangsa sebelum ini adalah faktor utamanya.

"Kali terakhir Malaysia jadi tuan rumah kejuaraan dunia pada 2007 dan ia antara penganjuran terbaik dalam sejarah sukan silat. Sudah pasti kali ini, kejuaraan ini mampu menarik ramai pasukan kerana rekod itu.

"Berkenaan kualiti, pasti ia lebih menarik kerana ada banyak pasukan yang tidak berpeluang ke pentas dunia akan berentap sehabis baik di terbuka kali ini. Kita pasti lihat sesuatu yang sangat hebat nanti.

Berita Harian X