Isnin, 17 Ogos 2015 | 10:34am

THT lakar kemenangan ke atas UniKL

PEMAIN hoki Pasukan Hoki Terengganu (jersi hitam) diasak oleh pemain dari pasukan UniKL (jersi kuning) pada Perlawanan Liga Hoki Malaysia, di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Batu Burok, semalam. - Foto Syahirah Abdullah
PEMAIN hoki Pasukan Hoki Terengganu (jersi hitam) diasak oleh pemain dari pasukan UniKL (jersi kuning) pada Perlawanan Liga Hoki Malaysia, di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Batu Burok, semalam. - Foto Syahirah Abdullah

KUALA TERENGGANU: Pasukan Hoki Terengganu (THT) menang selesa 4-2 ke atas Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam saingan Liga Hoki Malaysia (TNB-MHL) di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu petang semalam.

Pasukan pelawat terlebih dahulu memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-11 menerusi gol padang Muhammad Sufi Ismat Rohulamin.

Tersentak dengan jaringan itu, tuan rumah memperolehi gol penyamaan pada minit ke-22 menerusi Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil yang bijak menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Namun kegembiraan tuan rumah tidak bertahan lama apabila UniKL berjaya menghasilkan gol kedua menerusi Rafizul Ezry Mustafa yang berjaya mengelirukan lawan pada minit ke-30.

Enggan diaibkan di hadapan penyokong sendiri, Mohd Fitri Saari bangkit menyamakan kedudukan dua minit selepas itu, sekali gus menceriakan penyokong tuan rumah.

Tengku Ahmad Tajuddin terus menambah derita pasukan pelawat apabila berjaya menambahkan jaringan yang juga gol kedua peribadinya pada minit ke-37.

Kealpaan pelawat terus memberi peluang kepada THT memperolehi gol keempat melalui Ismail Abu pada minit akhir perlawanan.

Pengendali THT, Sarjit Singh jelas berpuas hati dengan persembahan anak buahnya yang dapat memastikan kemenangan walaupun terpaksa bangkit dua kali menyamakan kedudukan. -BERNAMA

Berita Harian X