Jumaat, 14 Ogos 2015 | 6:10pm

Badminton Dunia: Chong Wei ke separuh akhir

DATUK Lee Chong Wei mara ke peringkat separuh akhir selepas menewaskan pemain Hong Kong, Hu Yun apada aksi suku akhir di Stadium Tertutup Istora Senayan. - Foto Goh Thean Howe
DATUK Lee Chong Wei mara ke peringkat separuh akhir selepas menewaskan pemain Hong Kong, Hu Yun apada aksi suku akhir di Stadium Tertutup Istora Senayan. - Foto Goh Thean Howe

JAKARTA: Hanya selangkah lagi buat jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei untuk beraksi di pentas final Kejohanan Badminton Dunia.

Bekas pemain nombor satu dunia itu mengesahkan slot ke separuh akhir selepas menewaskan pemain Hong Kong, Hu Yun 21-12, 21-18 dalam aksi suku akhir di Stadium Tertutup Istora Senayan, sebentar tadi.

Kini, dia hanya perlu menunggu siapa yang bakal menjadi lawannya sama ada bintang sensasi China, Lin Dan atau pemain Denmark, Jan O Jorgensen.

Lin Dan dan Jorgensen akan turun beraksi untuk aksi suku akhir, malam ini.

"Siapa pun lawan saya, saya tidak kisah, yang paling penting ada fokus terhadap persiapan diri saya sendiri. Saya tahu semua mahu lihat saya bertemu Lin Dan.

"Saya tahu rekod saya tidak baik dengan Lin Dan tetapi ini adalah kejohanan berbeza dan saya akan cuba melakukan yang terbaik," kata Chong Wei sejurus tamat perlawanan.

Sementara itu, perjuangan beregu wanita negara, Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho berakhir di suku akhir selepas tewas kepada pasangan tuan rumah, Nitya Krishinda Maheswari-Greysia Polii (INA) 11-21, 11-21.

Bagaimanapun, pencapaian mereka mara sehingga kelompok lapan terbaik menyamai rekod dilakar gandingan Chor Hooi Yee-Lim Pek Siah pada edisi 1997 di Glasgow dan Pei Tty-Eei Hui pada 2005 di Anaheim dan 2006 di Madrid yang menjadi pasangan wanita berjaya ke suku akhir.

Berita Harian X