Selasa, 11 Ogos 2015 | 5:31pm

Bantu YAKEB kesan bekas atlet hidup susah: Malek Noor

KUALA LUMPUR: Ahli Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) paling aktif, Datuk Malek Noor tampil merayu orang ramai untuk sama-sama membantu mengesan bekas atlet negara yang hidup dalam kesusahan.

Bekas juara bina badan Asia sebanyak enam kali itu mengakui persatuan berkenaan, sukar memperoleh maklumat berkaitan pihak terbabit tanpa bantuan daripada mana-mana pihak.

Katanya, YAKEB sentiasa terbuka dan mengalu-alukan jika ada pihak yang membantu mereka.

"Kami masih lagi aktif dan sentiasa mencari bekas-bekas atlet Malaysia di seluruh negara untuk mendaftar dengan YAKEB.

"Begitupun baru-baru ini, saya ada jumpa beberapa rakan bekas atlet yang masih tidak tahu mengenai perkara ini.

"Kita tidak boleh menjangkakan mereka membaca surat khabar atau menonton televisyen. Jadi kita memang berharap jika ada pihak yang mengetahui perkara ini supaya dapat membantu.

"Kita perlu menghargai jasa bekas-bekas atlet ini," katanya.

Dalam pada itu, Malek Noor turut memuji Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang disifatkan amat prihatin dengan kewujudan persatuan terbabit.

"Sepanjang kehidupan saya yang sudah memasuki usia di angka 60-an ini, saya tidak pernah nampak sebarang menteri yang menerajui atlet ini sebaik beliau.

"Dia boleh bergaul dengan semua orang, atlet, bekas atlet dan sesiapa saja. Malah saya juga yakin dia adalah menteri yang bagus kerana dia turut membantu meningkatkan semangat atlet itu sendiri seperti yang ditunjukkan di Sukan SEA Singapura lalu.

"Bagi saya, semangat mereka melonjak disebabkan beliau kerana dalam sukan, jika kita ada pemimpin yang baik, atlet itu juga akan bertambah baik," katanya.

Untuk rekod, sehingga kini lebih 1,875 ahli yang terdiri daripada bekas atlet sudah dibantu YAKEB merangkumi pelbagai aspek manfaat seperti bantuan rawatan perubatan, pembayaran insurans dan khairat kematian, bantuan bencana alam, sumbangan ehsan, sumbangan peralatan, dan sokongan mendapatkan peluang perniagaan.

YAKEB yang beribu pejabat di Aras 2, Stadium Nasional, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, Sri Petaling, Kuala Lumpur boleh dihubungi di talian 03 8996 4841/4844 atau Fax 03 - 8996 4839.

Berita Harian X