Rabu, 5 Ogos 2015 | 11:57am

Piala Audi: Real singkir Spurs, Bayern benam Milan

PEMAIN AC Milan, Luca Antolnelli cuba manghalang pemain Bayern Munich ketika perlawanan Piala Audi di Munich, Jerman. - Foto AFP
PEMAIN AC Milan, Luca Antolnelli cuba manghalang pemain Bayern Munich ketika perlawanan Piala Audi di Munich, Jerman. - Foto AFP

MUNICH: Dua gergasi Eropah, Real Madrid dan Bayern Munich akan berentap dalam perlawanan persahabatan peringkat akhir Piala Audi di sini, selepas memenangi saingan separuh akhir masing-masing awal pagi tadi, waktu Malaysia.

Real yang juga bekas juara Liga Juara-Juara tahun lalu, mara selepas menjinakkan Tottenham Hotspur 2-0 menerusi jaringan James Rodriguez pada minit ke-36 dan Gareth Bale pada minit ke-79.

Bayern yang juga juara Bundesliga menamatkan cabaran AC Milan, 3-0, hasil sentuhan jaringan Juan Bernat pada minit ke-24, diikuti Mario Gotze (m-74) dan Robert Lewandowski (m-85).

Bagaimanapun kemenangan bergaya mereka dicemari dengan insiden pertelingkahan membabitkan pembimbing Bayern, Pep Guardiola dengan kapten Milan, Nigel de Jong di dalam terowong ketika mereka dalam perjalanan ke bilik persalinan rehat di separuh masa.

Pengendali Bayern itu marah dengan tindakan Jong mengasari pemain bawah 21 tahun Jerman, Joshua Kimmich pada minit ke-25.

KEPUTUSAN

Separuh Akhir

REAL MADRID (ESP) 2 TOTTENHAM HOTSPUR 0

(Rodriguez m-36, Bale m-79)

BAYERN MUNICH (GER) 3 AC MILAN 0

(Bernat m-24, Goetze m-74, Lewandowski m-85)

FINAL

(Hari ini, awal pagi esok waktu Malaysia)

BAYERN MUNICH mln REAL MADRID

Berita Harian X