Selasa, 4 Ogos 2015 | 4:12pm

Perjuang hak penyiaran sebelum terima cadangan swasta Liga M : TMJ

PENAUNG Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim. - Foto Mohd Azren Jamaludin
PENAUNG Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim. - Foto Mohd Azren Jamaludin

KUALA LUMPUR: Semua persatuan, kelab atau pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia (Liga M) perlu memperjuangkan hak penyiaran masing-masing sebelum menerima cadangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menswastakan liga, titah Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Tegas Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) itu, mereka sepatutnya menerima minimum sebanyak 70 peratus atau 80 peratus daripada hasil penyiaran manakala bakinya barulah diambil oleh FAM.

"Pasukan-pasukan sepatutnya memperjuangkan hak penyiaran mereka lebih dulu sebelum dikaburi oleh cadangan FAM untuk menswastakan liga.

"Usahakan selangkah demi selangkah," titah baginda yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) menerusi entri terbaharu dalam akaun facebook rasmi pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Johor Southern Tigers, hari ini.

Tunku Ismail bertitah, penswastaan Liga M adalah satu cadangan yang baik, tetapi ia tentu sukar bagi semua pasukan mengambil bahagian, kecuali membabitkan beberapa pasukan kaya.

"Bagi mana-mana penaja atau pelabur, mereka tentu sekali mahu mendapat keuntungan daripada pelaburan dan tajaan mereka, tetapi berapalah sangat keuntungan yang mereka boleh raih daripada menaja pasukan-pasukan Malaysia berbanding, katakanlah, kelab-kelab Eropah?

"Masalah utama dalam bola sepak Malaysia adalah kebanyakan presiden-presiden persatuan dan kelab tidak mengetahui hak mereka," titah baginda.

Tunku Ismail juga mahu FAM bersikap adil dalam membantu semua pasukan yang bertanding di Malaysia, dan bukannya melebihkan sesetengah pasukan.

"Badan induk bola sepak negara berkenaan perlu faham betapa dua perkara membunuh bola sepak Malaysia iaitu, pilih kasih dan korupsi.

"Tiga langkah pertama untuk memperbaiki bola sepak Malaysia adalah dengan mengamalkan profesionalisme, konsisten dan ketelusan," titah baginda.

Mengenai perkembangan JDT, Tunku Ismail bertitah:" Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor pada hari ini ingin memaklumkan kepada penyokong JDT bahawa PBNJ sentiasa berusaha sedaya upaya demi pembangunan bola sepak.

"Namun mengakui adalah sukar bersaing dengan pasukan-pasukan yang kaya seperti Felda, Pahang dan Terengganu.

"Pasukan-pasukan itu mempunyai sumber kewangan yang hampir tidak terhad untuk bola sepak, tetapi kita akan sentiasa berusaha untuk bersaing dengan kuasa-kuasa besar bola sepak Malaysia,".

Berita Harian X