Jumaat, 31 Julai 2015 | 6:39pm

Biaggi catat masa terpantas sesi latihan bebas hari pertama

PELUMBA pasukan Aprillia Racing Team, Max Biaggi dari Itali ketika sesi latihan bebas Kejohanan Superbike Dunia (WSBK)-FIM di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini. - Foto Osman Adnan
PELUMBA pasukan Aprillia Racing Team, Max Biaggi dari Itali ketika sesi latihan bebas Kejohanan Superbike Dunia (WSBK)-FIM di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini. - Foto Osman Adnan

SEPANG: Bekas juara Superbike Dunia dua kali, Max Biaggi dari Aprilia Racing Team mencatat masa terpantas sepusingan di hari pertama sesi latihan bebas Kejohanan Superbike Dunia (WSBK)-FIM di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.

Pelumba berusia 44 tahun dari Itali itu yang bersara pada 2012 selepas merangkul gelaran dunia WSBK kali kedua, mencatat masa terbaik dua minit 04.823 saat di sesi latihan pertama yang diadakan pada sebelah pagi, dan sekadar melakukan catatan kesembilan terbaik pada sesi kedua dengan catatan 2'25.433.

Catatan kedua terpantas milik penunggang Britain, Chaz Davies dari Aruba.it Racing-Ducati SBK Team yang mencatat 2'04.972s manakala seorang lagi pelumba Britain, Jonathan Rea dari Kawasaki Racing Team ketiga dengan 2'05.382s.

Biaggi, pelumba wildcard yang menunggang Aprilia RSV4 RF berkata dia kembali semula ke SIC selepas 10 tahun dan tetap menganggapnya sangat mencabar dan litar yang hebat.

"Kalau 10 tahun lalu, litar ini tidak terlalu beralun kerana masih baru. Selepas 10 tahun, ia berubah, ada laluan yang beralun dan permukaan yang merekah tetapi susun aturnya masih sama... tidak banyak yang berubah.

"Ini adalah litar kegemaran saya untuk berlumba sejak bertahun-tahun dulu. Litar ini cukup hebat, antara yang terbaik...kemudahan dan susun aturnya.

"Tentu keadaannya berbeza dengan di Eropah dan cuaca panas di sini tidak mendatangkan masalah kepada tayar," katanya.

Mengulas sesi hari ini, Biaggi berkata hujan pada permulaan sesi latihan kedua menyaksikan ramai penunggang memilih untuk tidak beraksi awal dengan harapan suhu panas akan mengeringkan litar sejauh 5.543km itu untuk melakukan catatan terbaik di akhir sesi 45 minit itu.

Katanya, adalah hebat untuk mencatat masa terpantas di sesi pertama tetapi hujan sewaktu sesi kedua memusnahkan peluangnya menguji sistem suspensi motosikalnya.

"Kotak gear harus berada dalam keadaan baik... jika menukar gear, jarak pergerakan motosikal sama ada jauh atau dekat perlu diambil kira. Kami perlu mencari kedudukan terbaik untuknya," katanya.

Biaggi berharap dia mampu memberikan saingan khususnya kepada pelumba Kawasaki Racing Team dan Aruba.it Racing-Ducati SBK Team yang mendahului carta pungutan mata kejohanan musim ini.

"Pasukan terkuat masih milik Kawasaki dan Ducati kerana mereka menguasai perlumbaan musim ini. Harapnya keadaan akan berbeza di Sepang kali ini dan saya akan melakukan yang terbaik untuk menyelitkan diri antara mereka," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X