Rabu, 29 Julai 2015 | 2:16pm

PKBM minta KBS segera baiki Velodrom Rakyat di Ipoh

KUALA LUMPUR: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menggesa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperbaiki segera Velodrom Rakyat di Ipoh, bagi memudahkan skuad trek remaja dan senior kebangsaan mengadakan latihan.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata, pelumba kebangsaan kini terpaksa berdepan masalah tiada tempat latihan menjelang Kejohanan Berbasikal Basikal Asia 2015 (ACC 2015) di Tokyo, Jepun dan Kejohanan Berbasikal Asia 2016 (ACC 2016) di New Delhi, India tahun hadapan.

Dalam kenyataan akhbar hari ini, beliau berkata, pihaknya memandang serius masalah itu kerana Velodrom Cheras dijangka dirobohkan sepenuhnya oleh kontraktor pada penghujung Disember ini.

"Velodrom Rakyat di Ipoh itu pula diklasifikasikan sebagai tidak sesuai untuk berlatih gara-gara permukaan treknya yang diperbuat daripada kayu, kini rosak sepenuhnya.

"Ada usul atau cadangan kononnya KBS dan MSNP (Majlis Sukan Negeri Perak) akan memperbaiki permukaan kayu di Velodrom itu. Bagaimanapun, sehingga kini belum ada tanda-tanda positif bahawa usul itu akan direalisasikan," katanya.

Abu Samah yang juga Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) percaya fenomena tiada tempat untuk pelumba trek remaja dan senior berlatih tidak boleh diterima kerana Malaysia adalah antara kuasa besar acara trek di Asia.

Katanya, pelumba senior seperti Mohd Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustafa bernasib baik kerana mereka berpangkalan di Melbourne, Australia namun berbeza nasib dengan pelumba senior lain di Malaysia. - BERNAMA

Berita Harian X