Selasa, 14 Julai 2015 | 12:13pm

Tanpa saya bola sepak Johor tetap maju - TMJ

TUNKU Ismail Sultan Ibrahim. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim
TUNKU Ismail Sultan Ibrahim. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

KUALA LUMPUR: Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah, bola sepak di Johor akan tetap maju tanpa baginda perlu lagi menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).

Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu turut bertitah, baginda juga tidak perlu menjadi penaung diraja untuk memajukan bola sepak di negeri itu kerana peminat atau penyokong bola sepak Johor yang akan membantu berbuat demikian.

Baginda bertitah demikian selepas menyaksikan perlawanan Liga Super antara pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Titah ucapan baginda itu disiarkan menerusi entri terbaharu pada akaun Facebook, Twitter dan laman web rasmi pasukan JDT - Johor Southern Tigers.

Berikut adalah titah ucapan penuh baginda:

"Ingin saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih dan selamat datang kepada UltraSel, Selangor yang memberi sokongan kepada pemain-pemain Selangor.

Walaupun apa keputusan untuk malam ini, anda semua tetap 'legend' dalam bola sepak Malaysia.

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan Johor yang telah berjaya dengan kemenangan pada malam ini.

Untuk makluman anda semua, baru-baru ini saya telah meletakkan jawatan sebagai Presiden PBNJ, tetapi ia tidak bermakna yang bola sepak Johor tidak akan maju.

Saya tidak payah menjadi Presiden untuk memajukan bola sepak Johor.

Saya tidak payah menjadi Royal Patron untuk memajukan bola sepak Johor kerana saya mempunyai anda semua untuk memajukan bola sepak Johor.

Ikrar saya berjanji di hadapan Bangsa Johor yang ada di stadium pada malam ini, saya sentiasa akan berada di sini tidak kisah dalam bola sepak ataupun urusan negeri.

Muafakat itu berkat, jangan lupa Allah peliharakan Sultan. Wabillahitaufik walhidayah, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Selamat Hari Raya kepada semua.

DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor ".

Kelmarin, TMJ membuat kejutan apabila meletak jawatan selaku Presiden PBNJ, berkuat kuasa jam 5 petang. Ia diumumkan oleh Setiausaha Kehormat persatuan berkenaan, Mohd Fahmy Yahya menerusi laman web rasmi Johor Southern Tigers.

Alasan peletakan jawatan bagaimanapun tidak dinyatakan.

Tunku Ismail menerajui pucuk pimpinan PBNJ pada Februari 2012. Bagaimanapun baginda mengumumkan meletak jawatan sebagai presiden pada 3 April 2013, atas alasan sukar mengikut peraturan yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Namun baginda menarik balik peletakan jawatan itu selepas mengadakan perjumpaan dengan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah yang ketika itu masih menerajui badan induk bola sepak negara.

Pada Oktober tahun lalu, TMJ dilantik sebagai Penasihat FAM, namun meletak jawatan pada 20 Februari.

Berita Harian X