Ahad, 12 Julai 2015 | 3:33pm

Rummenigge sahkan perpindahan Schweinsteiger

KETUA Pegawai Eksekutif Bayern Munich, Karl-Heinz Rummenigge. - Foto Andreas Gebert
KETUA Pegawai Eksekutif Bayern Munich, Karl-Heinz Rummenigge. - Foto Andreas Gebert

LONDON: Ketua Pegawai Eksekutif Bayern Munich, Karl-Heinz Rummenigge mengesahkan pemain sayap kelab itu, Bastian Schweinsteiger akan menyertai Manchester United, musim panas ini.

Rummenigge berkata Bayern cuba memujuk kapten kebangsaan Jerman itu untuk kekal di Allianz Arena namun pemain berusia 30 tahun itu berhasrat untuk mencari cabaran baharu.

Sekalipun tidak mendedahkan jumlah yuran perpindahan terbabit, juara Jerman itu dipercayai mahu sekurang-kurangnya STG15 juta (RM88.27 juta) bagi pemain yang sudah beraksi cukup cemerlang bersama kelab itu sejak 17 tahun lalu.

Pasukan perubatan Man United ketika ini sedang menanti kedatangan Schweinsteiger untuk ujian perubatan di Carrington, hari ini.

Seandainya tidak bermasalah, Schweinsteiger akan menjadi pemain kelahiran Jerman pertama beraksi di Old Trafford.

"Bastian mahu melakukan sesuatu yang baharu di penghujung kariernya. Dia yang memohon dan kami memberikan apa yang dimintanya," kata Rummenigge ketika sidang media mendedahkan pemain baharu Bayern.

"Rakan saya di Manchester United sudah pun berhubung. Kami sudah mencapai persetujuan mengenai perpindahan.

"Ia sesuatu yang dikesalkan kerana Bastian amat bermakna kepada kelab. Dia mencapai begitu banyak perkara yang hebat. Kami mengucapkan selamat tinggal dengan gaya yang hebat.

"Saya hanya boleh mengucapkan kepada Bastian segala yang terbaik. Ia akan menjadi cabaran baharu yang menarik buatnya. Saya yakin dia akan bermain dengan baik di sana."

Sebaik Rummenigge menamatkan ucapannya, Manchester United mengesahkan perpindahan terbabit menerusi laman sosial Twitter pasukan itu.

Kehadiran Schweinsteiger ke Old Trafford akan memberi sentuhan dan pengalaman juara Piala Dunia kepada Man United.

Info

Kejayaan Schweinsteiger bersama Bayern

- 2002-2015 (500 penampilan, 67 gol)

Bundesliga (8): 2002-03, 2004-05, 2005-06, 2007-08, 2009-10, 2012-13, 2013-14, 2014-15

DFB-Pokal (7): 2002-03, 2004-05, 2005-06, 2007-08, 2009-10, 2012-13, 2013-14

DFB-Ligapokal (2): 2004, 2007

DFL-Supercup (2): 2010, 2012

Liga Juara-Juara Eropah: 2012-13

Piala Super UEFA: 2013

Piala Dunia Kelab FIFA: 2013

Berita Harian X