Selasa, 7 Julai 2015 | 12:20pm

Jurulatih juara Copa America kekal bimbing pasukan

JORGE Sampaoli akan kekal membimbing juara Copa America, Chile sehingga Piala Dunia 2018. - Foto AP
JORGE Sampaoli akan kekal membimbing juara Copa America, Chile sehingga Piala Dunia 2018. - Foto AP

MADRID: Jorge Sampaoli akan kekal membimbing juara Copa America, Chile sehingga Piala Dunia 2018, sekalipun memberi bayangan ingin memburu cabaran baharu.

Perkara itu dinyatakan Presiden Persekutuan Bola Sepak Chile, Sergio Jadue.

"Sampaoli tidak akan ke mana-mana. Kesinambungannya sebagai jurulatih sehingga Piala Dunia 2018 di Russia sudah dijamin," kata Jadue kepada penyiar televisyen kebangsaan.

"Ada perjanjian dengan Jorge. Perkara ini sudah ditutup."

Komen daripada Jadue hadir selepas Sampaoli menyuarakan keinginan untuk berpindah selepas kemenangan bersejarah Chile ke atas Argentina di final Copa America.

Sekalipun mempunyai perjanjian dengan Chile sehingga Piala Dunia 2018, pengendali kelahiran Argentina itu memberitahu akhbar sukan, Marca adalah sukar untuknya mencapai kejayaan lebih baik selepas menewaskan negara kelahirannya di pentas final, Sabtu lalu.

"Saya mempunyai kontrak namun kita perlu melihat kepada situasi dan melihat apa yang berlaku," kata pengendali berusia 55 tahun itu.

Sampaoli berkata, dia akan membuat kajian bersama staf kejurulatihan "sama ada ia boleh diperbaiki atau sama ada kami boleh terus berguna."

Sejak melatih Chile pada lewat 2012, Sampaoli bersama staf kejurulatihan dari Argentina mengubah Chile daripada pasukan yang bergelut layak beraksi di Piala Dunia 2014 kepada pasukan yang mara ke peringkat 16 terakhir.

Menjuarai Copa America adalah kemenangan terbesar Sampali dan timbul khabar angin dia mahu mengendalikan kelab Eropah.

"Kita perlu melihat semua perkara ini dengan tenang. Ada kontrak yang masih wujud.

Tidak lama lagi kamu akan melihat segala-galanya," katanya sambil menambah mudah melatih kelab di Eropah kerana hampir kebanyakan kelab baharu saja memulakan persiapan pra-musim. - AFP

Berita Harian X