Rabu, 13 Mei 2015 | 1:42pm
PEMAIN JDT meraikan jaringan Luciano Gabriel Figueroa menentang Balestier Khalsa FC pada saingan Pilala AFC di Stadium Tan Sri Hassaan Yunus, Larkin.- Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
PEMAIN JDT meraikan jaringan Luciano Gabriel Figueroa menentang Balestier Khalsa FC pada saingan Pilala AFC di Stadium Tan Sri Hassaan Yunus, Larkin.- Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Juara Kumpulan F beri kelebihan buat JDT di pusingan kedua

JOHOR BAHRU: Status selaku juara Kumpulan F Piala AFC memberi kelebihan kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk beraksi di gelanggang sendiri, Stadium Tan Sri Hassan Yunos pada pusingan kedua saingan elit Asia itu.

JDT memperoleh tiga mata penuh hasil kemenangan selesa 3-0 ke atas wakil Singapura, Balestier Khalsa, pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan sekali gus menjuarai Kumpulan F dengan mengumpul 15 mata.

Jurulatih JDT, Mario Gomez, yang baru memimpin pasukan JDT dalam dua perlawanan setakat ini, menyifatkan kemenangan itu penting baginya.

"Memang ada perbezaan main di sini dan di tempat lawan. Saya memang mengharapkan kemenangan malam ini bagi memastikan kami bermain di tempat sendiri pada perlawanan akan datang," kata beliau kepada pemberita selepas perlawanan, di sini, malam tadi.

Dengan kemaraan JDT ke pusingan kedua, ia turut melakar kejayaan kali kedua Gomez membawa pasukan lain selain pasukan South Cina pada kempen Piala AFC lalu.

Mengulas mengenai kemenangan ke atas Balestier Khalsa, Gomez mengakui pertukaran strategi dengan memasukkan pemain simpanan seperti Mohd Safee Mohd Sali dan Mohd Nazrin Mohd Nawi pada separuh masa kedua, membuahkan hasil selepas persembahan hambar pada separuh masa pertama.

"Pada separuh masa pertama, Balestier Khalsa FC bermain dengan baik membuatkan saya menukar strategi pada separuh masa kedua," katanya.

Sementara itu, jurulatih kelab dari Singapura itu, Marko Kraljevic, berkata mereka sudah melakukan sedaya upaya dan berjaya mengekalkan kedudukan sehingga minit ke-74.

"Kami rasa kami bermain dengan baik tapi bila kami mula memberi sedikit ruang, JDT bertindak menghukum kami," kata jurulatih dari Croatia itu.

Beliau mengakui pemainnya kepenatan pada 15 minit terakhir dan gagal menghalang kemaraan pasukan JDT daripada mencatat kemenangan.

Pusingan kedua Piala AFC iaitu pusingan kalah mati dijadualkan bermula akhir bulan ini.

JDT dijangka bertemu Naib Juara Kumpulan H, yang bakal ditentukan pada perlawanan malam ini.

Perlawanan untuk menentukan juara Kumpulan H antara Persib Bandung dari Indonesia dan Ayeyawady United dari Myanmar akan berlangsung di Stadium Si Jalak Hampat, Bandung. - BERNAMA

Berita Harian X