Rabu, 6 Mei 2015 | 7:25pm

Rafiq, Syaidatul ungguli blok pertama Masters Terbuka Malaysia

ATLET elit negara, Muhd Rafiq Ismail dan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi mengungguli pusingan pertama Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia edisi ke-38 bagi kategori terbuka lelaki dan wanita Masters di Sunway Mega Lanes, Bandar Sunway, di sini hari ini. - Foto Osman Adnan
ATLET elit negara, Muhd Rafiq Ismail dan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi mengungguli pusingan pertama Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia edisi ke-38 bagi kategori terbuka lelaki dan wanita Masters di Sunway Mega Lanes, Bandar Sunway, di sini hari ini. - Foto Osman Adnan

PETALING JAYA: Atlet elit negara, Muhd Rafiq Ismail dan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi mengungguli pusingan pertama Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia edisi ke-38 bagi kategori terbuka lelaki dan wanita Masters di Sunway Mega Lanes, Bandar Sunway, di sini hari ini.

Rafiq dan Syaidatul Afifah kembali mendapat rentak permainan selepas masing-masing cemerlang dengan jumlah jatuhan pin 1,899 dan 1,857 untuk mara ke pusingan kedua esok.

Kedua-dua pemain muda negara itu terpaksa bermain pada pusingan pertama selepas mereka gagal meraih tiket awal pada pusingan kelayakan untuk mara ke pusingan kedua.

Muhd Rafiq, 18, berkata dia sudah bekerja keras untuk tersenarai dalam lapan pemain terbaik pada pusingan kelayakan yang berlangsung semalam namun jumlah jatuhan pin masih tidak dapat mengatasi peserta lain.

"Semalam saya bersusah payah untuk melakukan jumlah jatuhan pin yang tinggi tetapi saingan pada kejohanan ini sangat sengit. Saya bernasib baik hari ini kerana dapat melakukan jatuhan pin yang lebih baik berbanding, semalam.

"Perlawanan sebenar bermula esok, jadi saya perlu tenangkan minda dan berbincang dengan jurulatih tentang strategi baharu untuk pusingan kedua esok," katanya kepada pemberita.

Syaidatul Afifah berkata beliau berpuas hati dengan prestasinya, hari ini namun masih banyak perlu diperbaiki untuk meraih kedudukan yang lebih baik pada pusingan kedua esok.

"Pada perlawanan kelayakan semalam prestasi saya tidak begitu baik. Pemilihan bola juga mempengaruhi persembahan saya. Hari ini selepas menggunakan bola yang lain, saya lebih yakin dan keputusan juga sangat baik," kata Syaidatul Afifah.

Turut melepasi pusingan pertama ialah Zulmazran Zulkifli, Muhd Nur Aiman, Ahmad Muaz Fishol dan Isaac Russell Paul.

Bagi kategori wanita, atlet negara yang tersenarai ialah Dayang Khairuniza Dhiyana Abang Jamalidon, Esther Cheah, Nora Lyana Natasia Norkamal, Siti Aishahtun Hussin, Nur Amirah Auni Azman dan Nur Syazwani Sahar, Radin Nur Najwa Arifah Radin Zulfakar.

Sementara itu, pada pusingan kelayakan semalam hanya lapan peserta lelaki dan enam wanita sahaja layak ke pusingan kedua.

Empat atlet elit lelaki yang tersenarai ialah Kang Bo Long, Alex Liew, Jonathan Ding dan Adrian Ang, peserta antarabangsa terdiri daripada Park Jong Woo (Korea Selatan), Robert Anderson (Sweden), Dominic Barret (England) dan Jesper Svensson (Sweden).

Atlet elit wanita pula terdiri daripada Sin Li Jane, Natasha Roslan, dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman manakala tiga peserta antarabangsa yang layak ialah Son Yun Hee (Korea Selatan), Tannya Roumimper (Indonesia) dan Geraldine Ng (Singapura).

Pada pusingan kedua esok akan menyaksikan, 24 pemain lelaki dan 16 wanita beraksi untuk muncul tiga pemain terbaik bagi setiap kategori untuk layak ke pusingan akhir Step Ladder.

Berikut adalah 16 pemain lelaki dan 10 wanita yang layak ke pusingan kedua selepas melepasi pusingan pertama hari ini. - BERNAMA

INFO

Terbuka Lelaki Master Final Pusingan Pertama

1 Muhd Rafiq Ismail (MAS) 1,899 pin

2 Sam Cooley (AUS) 1,894

3 Dhruv Sarda (IND)1,819

4 Zulmazran Zulkifli (MAS) 1,816

5 Muhd Nur Aiman (MAS) 1,802

6 Atchariya Cheng (THA) 1,752

7 Shota Kawazoe (JPN) 1,741

8 Ahmad Muaz Fishol (MAS) 1,736

9 Yannaphon (THA) 1,721

10 Michael Mak (HKG) 1,718

11 Yeri Ramadona (INA) 1,696

12 Issac Russel Paul (MAS) 1,691

13 Suresh Elagovan (SIN) 1,685

14 Annop Arromsaranon (THA) 1,682

15 Chen Kuan Lun (TPE) 1,682

16 Ryan Lalisang (INA) 1,674

Terbuka Wanita Master Final Pusingan Pertama

1 Syaidatul Afifah Badrul Hamidi (MAS) 1,857 pin

2 Nora Lyana Natasia Norkamal (MAS) 1,804

3 Siti Aishatun Hussin (MAS) 1,763

4 Nur Amirah Auni Azman (MAS) 1,725

5 Aldila Indryati (INA) 1,722

6 Anis Shazlin (MAS) 1,721

7 Dayang Khairuniza Dhiyana Abang Jamalidon (MAS) 1,709

8 Esther Cheah (MAS) 1,708

9 Nur Syazwani Sahar (MAS) 1,708

10 Radin Nur Najwa Arifah Radin Zulfakar (MAS) 1,703

Berita Harian X