Sabtu, 2 Mei 2015 | 11:56pm

Skuad wanita Malaysia kalah 0-3 kepada Filipina

KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak wanita negara kalah 0-3 kepada Filipina dalam aksi pembukaan Kumpulan B, Kejohanan Bola Sepak Wanita ASEAN (AFF) 2015 di Stadium Thong Nhat di Ho Chi Minh, Vietnam, hari ini.

Penyerang, Jesse Anne Shugg memberi skuad 'Malditas' permulaan yang sempurna selepas menjaringkan gol pada minit ke-24, hasil hantaran rakan sepasukan, sebagaimana yang dipetik dalam laman web AFF; www.aseanfootball.org.

Shugg kemudian memberi peluang kepada pemain gantian, Joanna Houplin yang berjaya menjaringkan gol pada minit ke-72 dan tiga minit kemudian berjaya mengutip tiga mata kemenangan pertama untuk Filipina.

Kemenangan itu menyaksikan Filipina mendahului Kumpulan B dengan kelebihan jaringan gol berbanding juara dua kali, Vietnam yang bekerja keras untuk mencatat kemenangan 3-2 ke atas Myanmar dalam satu lagi perlawanan kumpulan B di venue sama.

Malaysia akan berdepan Vietnam manakala Filipina akan menentang Myanmar dalam perlawanan kumpulan kedua pada Isnin.

Untuk rekod, pencapaian terbaik Malaysia pada kejohanan itu adalah tempat keempat, pada 2007. - BERNAMA

Berita Harian X