Rabu, 22 April 2015 | 10:27pm
PENYERANG hoki kebangsaan, Faizal Saari. - Foto ihsan Ritual Hockey
PENYERANG hoki kebangsaan, Faizal Saari. - Foto ihsan Ritual Hockey

Hoki: Faizal Saari 'hilang' mahu uruskan pertunangan - Radha

PUTRAJAYA: Misteri 'kehilangan' penyerang hoki kebangsaan, Faizal Saari buat kali kedua semasa latihan adalah disebabkan beliau sedang menguruskan majlis pertunangannya, kata Bendahari Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Radha Krishnan.

Semalam, akhbar melaporkan Faizal sekali lagi tidak menghadiri sesi latihan dan jurulatih tidak dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

"Isu yang lalu apabila beliau bertanya tentang bayaran bonusnya dan perkara itu sudah diselesaikan dan kini ia lebih kepada masalah peribadi. Maklumat terkini yang saya dengar hari ini, beliau akan bertunang.

"Faizal ada menghubungi Setiausaha MHC (Datuk Johari Abdul Aziz) semalam dan beritahu yang dia hendak bertunang. Kita terima alasan itu dan kita (MHC) harap tiada lagi alasan lain," kata Radha kepada pemberita selepas pelancaran logo rasmi 'Putrajaya Deuter Trail Run 2015' di Menara KBS di sini hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan.

Sebelum ini, penyerang berusia 24 tahun itu menghilangkan diri daripada sesi latihan selepas berakhir Pusingan Kedua Liga Dunia di Singapura pada Januari lalu dengan menyatakan tiada bayaran bonus selepas pasukan negara mencatat kemenangan, sebagai antara alasannya berbuat demikian.

"Kita harap dia akan terus datang untuk latihan secepat mungkin kerana ketiadaan Faizal mungkin akan mengganggu prosedur latihan...adalah tidak adil kepada pemain lain," kata Radha yang juga Pengarah Urusan Universal Fitness and Leisure Sdn Bhd (UFL).

Mengenai isu bayaran bonus, Radha berkata bayaran tersebut dibuat semasa kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, baru-baru ini.

"Pembayaran bonus kepada kesemua pemain sudah dibuat semasa Piala Sultan Azlan Shah kecuali mereka yang tidak beraksi pada kejohanan berkenaan. Mereka perlu menghubungi Setiausaha MHC berhubung pembayaran itu.

"Kesemua pemain diberi bayaran yang sama...semuanya sama," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X