Sabtu, 11 April 2015 | 3:58pm
PENUNGGANG Moto3 negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin
PENUNGGANG Moto3 negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin

Moto3: Zulfahmi tunjuk aksi bertenaga sesi ujian bebas

KUALA LUMPUR: Penunggang Moto3 negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin memperaga peningkatan pada kedua-dua sesi ujian bebas Grand Prix Amerika Syarikat (AS), awal pagi tadi dan berharap aksi baik di litar basah itu berterusan sehingga hari perlumbaan.

Menghabiskan 13 pusingan pada kedua-dua sesi ujian, penunggang pasukan Drive7 SIC Racing itu mencatat masa 2 minit 34.444 saat untuk berada di kedudukan kelima terpantas sesi pertama.

Sekalipun melakukan catatan lebih baik pada sesi kedua, 2m 30.882s, penunggang jentera KTM itu begitupun sekadar di kedudukan kelapan terpantas dengan penunggang Honda terus mengungguli tiga tempat terpantas kedua-dua sesi.

"Hari ini amat baik untuk kami," kata Fahmi. "Kami nampak kuat sejak daripada awal dan saya merasa amat selesa dengan jentera. Perasaan juga sudah semakin baik terutama ketika hujan.

"Harap-harap esok cuaca lebih baik supaya kami dapat menguji pelarasan pada keadaan kering namun jika tidak, saya yakin kami akan mampu melakukan sesuatu yang baik dalam keadaan basah ini.

"Ini adalah hari pertama yang positif dan perkara seperti ini yang sepatutnya berlaku sejak hari pertama Grand Prix," katanya.

Pada perlumbaan pembukaan di GP Qatar, dua minggu lalu, Fahmi dan pasukannya bergelut apabila sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-28 manakala rakan sepasukannya, Jakub Kornfeil menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-17.

Kornfeil dalam pada itu turut mencatat keputusan ujian yang baik dengan menamatkan sesi di kedudukan keempat dan ke-14 pada sesi kedua.

Berita Harian X