Khamis, 9 April 2015 | 3:47pm
PELUMBA Moto3 negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin. - Foto Ihsan MotoGP
PELUMBA Moto3 negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin. - Foto Ihsan MotoGP

Moto3: Zulfahmi mahu cari penawar duka di Austin

KUALA LUMPUR: Duka di Qatar mahu dipadam sepenuhnya pelumba Moto3 negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin, namun apa yang dipelajari daripada perlumbaan itu penting untuk dibawa ke Grand Prix Amerika Syarikat (AS), hujung minggu ini.

Pada perlumbaan di GP Qatar di Litar Losail, dua minggu lalu, pelumba pasukan Drive M7 SIC Racing itu bergelut bukan saja dengan pelarasan jentera, malah turut terjatuh dan sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-28.

Selain Fahmi, rakan sepasukannya, Jakub Kornfeil turut bergelut dan menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-17.

"Perlumbaan di Qatar sukar buat pasukan namun daripadanya kami banyak belajar. Salah satu perkara paling penting bagi saya ialah fokus kepada gaya tunggangan saya," kata Fahmi.

"Pada hari perlumbaan di Qatar, kami memperoleh beberapa pelarasan yang baik dan saya merasa lebih yakin jadi saya rasa apa yang kami lakukan ketika ini sudah cukup.

"Saya berharap semuanya berjalan lancar di Austin nanti dan selepas itu bergantung kepada saya untuk bekerja keras. Saya perlu memberikan 100 peratus terlebih dulu kepada jentera sebelum kami melakukan sebarang perubahan," kata pelumba berusia 23 tahun itu.

Dalam pada itu, pengurus pasukan Johan Stigefelt turut mengakui mereka perlu bangkit di Austin sambil berharap segala masalah yang timbul di Losail sudah diselesaikan.

"Kami perlu mendapatkan perlumbaan lebih baik di Austin berbanding apa yang kami dapat di Qatar. Kami mendapat beberapa isu yang kami tidak jangkakan pada perlumbaan sebelum ini dan berharap ia sudah selepas sekarang," katanya yang mengakui Austin sebagai litar yang cukup teknikal.

Berita Harian X