Isnin, 6 April 2015 | 3:53pm

Lupakan kekalahan di Terengganu, fokus Piala FA - Azraai

KOTA BHARU: Jurulatih Kelantan, Mohd Azraai Khor Abdullah mahu pemain melupakan kekalahan kepada Terengganu dalam saingan Liga Super, Sabtu lalu, sebaliknya memberi fokus kepada saingan Piala FA.

Beliau berkata pemain perlu memberi aksi terbaik dalam saingan suku akhir Piala FA menentang Sime Darby FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor, malam esok.

"Kami mahu melupakan segera kekalahan di Terengganu dan tahu sudah tentu di kubu sendiri (Sime Darby FC), mereka akan main habis-habisan.... FA Cup ini satu perlawanan yang berlainan.

"Kami mahu mendapatkan jaringan di tempat lawan kerana itu penting, saya akan cuba beberapa kombinasi yang sesuai untuk menghadapi Sime Darby FC," katanya ketika menjalankan latihan di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, hari ini.

Mohd Azraai Khor berkata beliau berharap pemain kelahiran Colombia iaitu Erwin Carillo dapat diturunkan ketika menentang Sime Darby FC, malam esok selepas pemain itu mengalami kecederaan buku lali dalam perlawanan sebelum ini.

"Harapan saya Carillo dapat diturunkan, ketika adakan latihan ringan semalam kita jangka dia akan turun tetapi kita tengok prestasi dia (Carillo) pagi ini, kemasukan Carillo akan menjadikan pasukan sedikit berbeza.

"Kami juga akan beri peluang kepada dia (Emmanuel Kenmogne) pada perlawanan itu dan dia perlu buktikan sesuatu," katanya.

Beliau berkata barisan pemain muda seperti Wan Zaharulnizam Zakaria, Wan Zack Haikal Wan Noor dan juga Mohd Khairul Izuan Rosli juga perlu memberikan aksi yang terbaik pada perlawanan berkenaan.

"Rata-rata pemain menaruh keyakinan yang tinggi dan kita akan lakukan yang terbaik untuk menang," katanya.

Sabtu lalu, Kelantan tewas 2-1 pada saingan Liga Super 2015 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin, Terengganu. - BERNAMA

Berita Harian X