Rabu, 25 March 2015 | 5:08pm

Sukan SEA: Ballard, Morten Frost hargai pendekatan Norza

KETUA Kontinjen negara ke Sukan SEA Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (dua dari kanan) bersama sebahagian jurulatih dan atlet olahraga negara ketika mengadakan perjumpaan bersama atlet yang akan mengambil bahagian dalam Sukan SEA di Singapura pada Jun ini, di Institut Sukan Negara. - Foto BERNAMA
KETUA Kontinjen negara ke Sukan SEA Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (dua dari kanan) bersama sebahagian jurulatih dan atlet olahraga negara ketika mengadakan perjumpaan bersama atlet yang akan mengambil bahagian dalam Sukan SEA di Singapura pada Jun ini, di Institut Sukan Negara. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pendekatan Ketua Kontinjen Negara ke Sukan SEA 2015, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengadakan perbincangan bersama beberapa persatuan yang terbabit dengan temasya itu, hari ini cukup disenangi malah mendapat tindak balas positif.

Hari ini, kira-kira kurang 72 hari temasya serantau itu akan membuka tirainya, Norza bersama Sekretariat Sukan SEA mengadakan 'pertemuan dua mata' bukan saja bersama pemimpin persatuan terbabit, malah atlet yang akan bertanding.

Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert J Ballard mengakui gembira dengan pendekatan diambil Norza dan menyifatkannya sebagai positif.

"Saya anggap perjumpaan ini sebagai positif. Saya amat gembira dengan pendekatan Norza. Beliau mahukan kesatuan dalam kontinjen ini.

"Sekalipun beberapa persatuan sukan dikendalikan oleh individu, beliau mahu kami semua bersatu sebagai satu semangat. Saya amat gembira dengan pendekatan ini," kata bekas atlet Olimpik Australia itu.

Pandangan sama turut disuarakan Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost.

"Perjumpaan bersama Norza memberi peluang buat kami menyuarakan beberapa isu dan saya cukup berpuas hati dengan perjumpaan ini," katanya.

Antara pasukan yang ditemui Norza ialah badminton, olahraga, pencak silat, tinju, ekuestrian, bola keranjang, ping pong, hoki, gimnastik dan snuker dan billiard.

Selain Norza yang juga Timbalan Presiden BAM, turut hadir pada perjumpaan itu ialah Timbalan CDM yang juga Naib Presiden Kanan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Dr S Shamala.

Temasya Sukan SEA Singapura dijadual berlangsung dari 5 hingga 16 Jun ini.

Pada Sukan SEA 2013 di Myanmar, kontinjen negara diketuai, Datuk Wira Amiruddin Embi meraih 43 pingat emas, 38 perak dan 77 gangsa.

Berita Harian X