Sabtu, 21 March 2015 | 9:19pm
RAKAN sepasukan penunggang negara, Zulfahmi Khairuddin dari pasukan Drive M7 SIC Racing, Jakub Kornfeil (depan) ketika menjalani sesi ujian pra-musim ketiga Moto3 di Jerez, Sepanyol. - FOto EPA
RAKAN sepasukan penunggang negara, Zulfahmi Khairuddin dari pasukan Drive M7 SIC Racing, Jakub Kornfeil (depan) ketika menjalani sesi ujian pra-musim ketiga Moto3 di Jerez, Sepanyol. - FOto EPA

Drive M7 SIC Racing label ujian di Jerez positif

KUALA LUMPUR: Keadaan litar basah di Jerez, Sepanyol akibat hujan ketika sesi ujian pra-musim terakhir Moto3 dianggap rahmat buat penunggang negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin.

Sekalipun tidak merekodkan masa yang dianggap memberangsangkan sepanjang tiga hari ujian, pelumba pasukan Drive M7 SIC Racing itu mengakui makin selesa dengan pelarasan yang dibuat pada jentera KTM yang digunakan.

Sepanjang tiga hari ujian, Zulfahmi sekadar berada di kedudukan ke-33 terpantas keseluruhan selepas mencatat masa 1 minit 52.332 saat, jauh berbanding pelumba pasukan Estrella Galicia 0.0, Jorge Navarro yang mencatat masa terpantas 1'48.189s.

Rakan sepasukannya, Jakub Kornfeil pula berada di kedudukan ke-22 terpantas dengan catatan 1'50.628s.

Begitupun, ujian terakhir pra-musim itu tidak membayangkan prestasi sebenar pasukan yang baharu ditubuhkan itu yang dianggap akan mencapai potensi sebenar ketika perlumbaan pembuka musim di Qatar pada 29 Mac ini.

"Saya sudah mula merasa baik dengan jentera. Kami melakukan banyak kerja dalam keadaan basah dan sejak daripada mula, saya merasa amat selesa dengan pelarasan yang dibuat.

"Memang sukar mengadakan ujian dalam keadaan litar yang berbeza namun kami masih mencapai kemajuan dan saya amat gembira dengan perkara ini.

"Perubahan yang kami lakukan berjalan dengan amat baik dan pasukan melakukan kerja yang hebat. Saya merasa lebih selesa dengan jentera ketika ini jadi saya sudah bersedia untuk ke Qatar," kata penunggang kelahiran Banting, Selangor itu.

Dalam pada itu, pengurus pasukan, Johan Stigefelt turut mengakui kesukaran yang dihadapi kedua-dua pelumba ketika mengadakan ujian di litar basah namun gembira perubahan ditampilkan Zulfahmi terutama di penghujung sesi ujian.

"Fahmi banyak meningkat. Dalam keadaan litar basah, dia merasa lebih keyakinan dan tidak begitu jauh dengan Jakub.

"Kami meninggalkan sesi ujian ini tanpa maklumat yang lengkap namun kami merasa yakin untuk menghadapi Qatar kerana kami sudah pun melakukan tujuh hari ujian di Sepang," katanya.

Berita Harian X