Jumaat, 13 March 2015 | 7:34pm
Muhd Azizi Naim
Muhd Azizi Naim

Azizi Naim, Nur Syazwani juara boling remaja

PETALING JAYA: Muhd Azizi Naim dan Nur Syazwani Sahar masing-masing muncul juara kategori lelaki dan wanita pada Kejohanan Boling Remaja Kebangsaan Milo 2015 di Sunway Mega lanes, Bandar Sunway, di sini hari ini.

Muhd Azizi, selaku wakil Selangor, mencipta kejutan pada penampilan sulung apabila mengetepikan cabaran pemain pelapis negara, Qalif Adnor Adam dengan kelebihan hanya satu pin sahaja.

Saingan dalam kategori lelaki berlangsung sengit selepas tiga pemain teratas dibezakan dengan kelebihan hanya satu pin sahaja.

Muhd Azizi, 17, melakarkan catatan 168, 269, 248, 245, 232, 166, 154 dan 215 untuk mengumpul 1,697 jatuhan pin manakala tempat ketiga disandang oleh Ahmad Aidil Abdul Halim yang mewakili JMV Maids Penang, selepas mengumpul 1,695 jatuhan pin.

"Pada awal permainan balingan saya tidak begitu baik tetapi mendapat semula rentak selepas itu. Namun lorong mula kering pada permainan keenam dan ketujuh sebelum saya bangkit semula pada permainan akhir," kata pelajar Tingkatan Lima, Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9, Shah Alam.

Katanya beliau baru sahaja menyertai skuad Sukan Malaysia (Sukma) Selangor awal tahun ini.

Sementara itu, dalam kategori wanita, Nur Syazwani, pemain pelapis kebangsaan, mengumpul 1,808 jatuhan pin untuk menjuarai acara itu iaitu kelebihan 64 pin mengatasi rakan sepasukan Nur Amirah Auni Azman.

Tempat ketiga dimenangi oleh seorang lagi pemain pelapis kebangsaan, Siti Aishatun Hussin dengan 1,712 pin.

"Ini kali ketiga saya menyertai kejohanan ini dan tahun ini lebih berjaya. Tahun lalu saya sekadar di tempat kedua sahaja.

"Fokus saya selepas ini ialah untuk memenangi sekurang-kurangnya pingat perak di Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia pula," kata Nur Syazwani. - BERNAMA

KEPUTUSAN

Remaja Lelaki:

EMAS: Muhd Azizi Naim (Sukma Selangor) 1,697 pin

PERAK: Qalif Adnor Adam (Pelapis Kebangsaan) 1,696

GANGSA: Ahmad Aidil Abdul Halim (JMV Maids Penang) 1,695

Remaja Perempuan:

EMAS: Nur Syazwani Sahar (Pelapis Kebangsaan) 1,808

PERAK: Nur Amirah Auni Azman (Pelapis Kebangsaan) 1,744

GANGSA: Siti Aishatun Hussin (Pelapis Kebangsaan) 1,712

Berita Harian X