Isnin, 9 March 2015 | 7:26pm

Boling: Juara bertahan, Selangor gah raih 2 emas

PETALING JAYA: Juara bertahan, Selangor memulakan kempen dengan langkah kanan pada Kejohanan Boling Antara Negeri Ke-28 di Sunway Mega Lanes, Bandar Sunway di sini dengan meraih dua pingat emas.

Selain meraih dua emas, skuad 'Merah-Kuning' turut meraih tiga perak.

Bagi pemain senior, Alex Liew, memberi fokus dan tenang dalam permainan menjadi kunci kejayaan meraih emas acara perseorangan lelaki buat kali ketiga.

"Selepas lima permainan, saya berada di tempat ketiga di belakang Aiman (Muhd Nur Aiman) ketika itu.

"Saya rasa saya amat bertuah bila berjaya melakukan strike berturut-turut selepas frame keempat dalam permainan terakhir. Dari situlah saya rasa, saya berjaya memintas Aiman untuk meraih emas," kata pemain berusia 38 tahun itu.

Muhd Nur Aiman Muhd Khairuddin, yang mewakili Johor, terpaksa berpuas hati dengan perak selepas mengumpul 1,455 jatuhan pin, ketinggalan 12 pin di belakang Alex.

Gangsa menjadi milik Rodson Tong Juinn Chun dari Pahang dengan 1,451 jatuhan pin.

Menurut Alex kejayaan itu secara tidak langsung berjaya membantu skuad boling Selangor mengulangi kejayaan dalam kejohanan itu.

Terdahulu, Muhammad Firdaus Abdullah menghadiahkan emas pertama buat Selangor dalam acara perseorangan remaja lelaki dengan melakukan 1,326 jatuhan pin untuk mengatasi wakil Kuala Lumpur Muhd Firdaus Idris yang memperoleh 1,320 pin. Gangsa menjadi milik Ervin Lim dari Sarawak dengan 1,305 jatuhan pin.

Bagi kategori wanita, pemain skuad elit negara, Sharon Koh yang mewakili Kuala Lumpur, mendominasi permainan sejak dari awal permainan.

Beliau berjaya mengatasi pesaing terdekatnya, Natasha Roslan dari Selangor dengan kelebihan 95 pin apabila mengumpul 1,455 jatuhan pin manakala gangsa menjadi milik Dayang Khairuniza Dhiyana Abang Jamalidon dari Sarawak dengan 1,338 pin.

Pingat emas kategori remaja perempuan pula menjadi milik Nerosha Keligit dari Sarawak.

Kejohanan Boling Antara Negeri ke-28 diteruskan dengan acara beregu esok. - BERNAMA

Berita Harian X