Sabtu, 7 March 2015 | 10:24pm

Boling antara negeri, kebangsaan medan pemain buru tiket Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Kejohanan Boling Antara Negeri ke-28 dan Kebangsaan Malaysia ke-39 yang berlangsung dari 8 hingga 14 Mac ini, bakal menjadi medan kepada pemain memburu slot untuk beraksi pada Sukan SEA 2015 di Singapura pada Jun.

Ketua jurulatih kebangsaan, Holloway Cheah berkata kejohanan itu akan menggabungkan pemain elit dan pelapis yang mewakili negeri masing-masing.

"Selain itu, pada kejohanan ini pemain pelapis akan membawa cabaran negeri-negeri yang bertanding, jadi kita mempunyai kumpulan pemain yang cukup ramai untuk dipilih mewakili negara ke Sukan SEA nanti," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Bagi menghadapi Sukan SEA ke-28 di Singapura dari 5 hingga 16 Jun, Cheah membayangkan untuk menyenaraikan skuad tenpin boling campuran yang terdiri daripada pemain elit dan pelapis ke temasya tersebut.

"Tahun lalu sahaja, kita dapati banyak pemain muda berbakat muncul. Saya berharap mereka akan terus memberi mutu permainan yang baik dan menunjukkan peningkatan prestasi.

"Jika mereka (pemain pelapis) mampu mempamerkan prestasi terbaik, tidak mustahil bagi saya untuk terus memberi peluang kepada mereka menggalas cabaran negara pada mana-mana kejohanan akan datang," kata Cheah.

Untuk rekod, Malaysia muncul kontinjen terbaik dalam acara tenpin boling pada Sukan SEA 2011 di Indonesia apabila berjaya membawa pulang lima pingat emas, tiga perak dan enam gangsa.

Pada Sukan SEA di Myanmar 2013, acara tenpin boling tidak dipertandingkan. - BERNAMA

Berita Harian X