KUALA LUMPUR: Perseorangan dari Jepun, Kurumi Nara gah melangkah ke pusingan suku akhir Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia BMW 2015 selepas mengambil masa tiga jam 13 minit untuk menewaskan lawannya, Magda Linette dari Poland 7-5, 5-7, 7-6, malam ini.
Dalam saingan kelompok lapan terakhir nanti, pemain Asia itu akan menentang Jarmila Gajdosova dari Australia yang layak selepas menumbangkan Luksika Kumkhum dari Thailand, 7-5, 6-2 di Kelab Golf Diraja Selangor.
"Saya bangga dapat melepasi halangan ini. Saya rasa sudah bersedia untuk muncul sebagai pemain 50 terbaik dunia selepas kejohanan ini.
"Ini adalah permulaan baik bagi saya untuk tahun ini," kata Jarmila kepada pemberita selepas perlawanan itu.
Bagaimanapun enam perlawanan termasuk perseorangan dan beregu terpaksa ditunda hampir dua jam berikutan hujan lebat, petang tadi.
Peringkat suku akhir dijadualkan pada jumaat ini.
Dalam satu lagi perlawanan pusingan kedua, pemain daripada pusingan kelayakan, Elizaveta Kulichkova dari Russia mudah menempah slot suku akhir selepas menewaskan Yulia Putintseva dari Kazakhstan, 6-0, 6-2.
KEPUTUSAN TERBUKA MALAYSIA 2015
Pusingan Kedua Perseorangan Wanita
Jarmila Gajdosova (AUS) mn Luksika Kumkhum (THAI) 7-5, 6-2
Elizaveta Kulichkova (RUS) mn Yulia Putintseva (KAZ) 6-0, 6-2
Kurumi Nara (JPN) mn Magda Linette (POL) 7-5, 5-7, 7-6 (8-6)
Suku Akhir Beregu Wanita:
Chen Liang-Yafan Wang (CHN) mn Xinyun Han (CHN)-Junri Namigata (JPN) 4-6, 6-1, 15-13
Zhaoxuan Yang-Lin Zhu (CHN) mn Kai-Chen Chang (TPE)-Saisa Zheng (CHN) 6-4, 6-4
Darija Jurak (CRO)-Klara Koukalova (CZE) mn Naomi Broady (GBR)-Carina Witthoeft (GER) 7-6 (6), 6-3.