Isnin, 2 March 2015 | 11:34pm
PEMAIN negara, Jawairiah Noordin beraksi ketika menentang pemain dari Kazakhstan, Yulia Putintseva dalam perlawanan pusingan pertama kategori perseorangan pada Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia BMW. - Foto BERNAMA
PEMAIN negara, Jawairiah Noordin beraksi ketika menentang pemain dari Kazakhstan, Yulia Putintseva dalam perlawanan pusingan pertama kategori perseorangan pada Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia BMW. - Foto BERNAMA

Terbuka Malaysia: Kempen Malaysia acara tenis perseorangan berakhir

KUALA LUMPUR: Kempen Malaysia dalam acara perseorangan Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia BMW 2015 berakhir selepas wakil tunggal negara, Jawairiah Noordin gagal melepasi pusingan pertama di Kelab Golf Diraja Selangor (RSGC) di sini, hari ini.

Jawairiah, yang layak ke undian utama atas tiket wildcard, dengan mudah dikalahkan pemain Kazakhstan, Yulia Putintseva 6-2, 6-1 dalam pertarungan selama sejam 17 minit.

Putintseva akan menentang pemenang daripada pusingan kelayakan, Elizaveta Kulichkova dari Russia pada pusingan kedua.

Kulichkova sebelum itu memulakan saingan undian utama dengan mengejutkan pemain pilihan ketujuh, Bojana Jovanovksi dari Serbia 6-3, 7-6 (4).

Dalam pada itu, Jawairiah berkata beliau memerlukan pendedahan pada kejohanan di luar negara untuk mendapatkan pengalaman serta rentak yang lebih lancar dan konsisten.

"Pengalaman yang saya ada sekarang tidak mencukupi untuk lawan dengan standard Persatuan Tenis Wanita (WTA). Saya janjikan satu perlawanan terbaik dan saya sudah mencuba yang terbaik...itulah perlawanan terbaik dari saya," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Bagaimanapun, Jawairiah akan meneruskan cabaran negara dalam acara beregu esok dengan gandingan pemain negara S Theiviya.

Beregu negara akan memulakan pusingan pertama dengan menentang gandingan pemain China Han Xinyun dan pemain Jepun, Junri Namigata.

Dalam pada itu, pemain pilihan keenam, Kurumi Nara dari Jepun, menewaskan pemain Switzerland, Stefanie Voegele 6-3, 7-6(4).

Pemain Jepun itu, yang menghuni ranking ke-57 dunia, akan menentang pemain Poland, Magda Linette pada pusingan kedua selepas Linette melepasi pusingan pertama dengan menewaskan pemain China, Qiang Wang, 2-6, 6-3, 6-0.

Kejohanan wanita itu, yang diiktiraf oleh WTA dan Persatuan Tenis Malaysia (LTAM), menawarkan jumlah hadiah wang tunai AS$250,000 (RM911,750). - BERNAMA

KEPUTUSAN

PUSINGAN PERTAMA PERSEORANGAN

Kurumi Nara (JPN) mn Stefanie Voegele (SUI) 6-3, 7-6(4)

Kateryna Kozlova (UKR) mn Saisai Zheng (CHN) 6-3, 6-4

Luksika Kumkhum (THA) mn Junri Namigata (JPN) 6-3, 7-6(4)

Ying-Ying Duan (CHN) mn Yi-Fan Xu (CHN) 6-0, 3-6, 6-3

Yulia Putintseva (KAZ) mn Jawairiah Noordin (MAS) 6-2, 6-1

Magda Linette (POL) mn Qiang Wang (CHN) 2-6 6-3 6-0

Elizaveta Kulichkova (RUS) mn Bojana Jovanovski (SRB) 6-3 6-3

PUSINGAN PERTAMA BEREGU

Zhaoxuan Yang (CHN)-Lin Zhu (CHN) mn Misa Eguchi (JPN)-Sofia Shapatava (GEO) 6-1, 3-6, 10-6

Darija Jurak (CRO)-Klara Koukalova (CZE) mn An-Sophie Mestach (BEL)-Emily Webley-Smith (GBR) 4-6, 6-3, 10-1

Chen Liang (CHN)-Yafan Wang (CHN) mn Lyudmyla Kichenok (UKR)-Nadiia Kichenok (UKR) 6-4, 7-6(7)

Yuliya Beygelzimer (UKR)-Olga Savchuk (UKR) mn Peangtarn Plipuech (THA)-Varunya Wongteanchai (THA) 4-6, 6-0, 10-4

Naomi Broady (GBR)-Carina Witthoeft (GER) mn Tatiana Bua (ARG)-Patricia Mayr-Achleitner (AUT) 6-0, 6-2.

Berita Harian X