Sabtu, 21 Februari 2015 | 11:14am
PEMAIN import Terengganu, Jaime Braganca (tengah) ketika menjalani sesi latihan di padang Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu baru-baru ini. - Foto Mohd Syafiq Ambak
PEMAIN import Terengganu, Jaime Braganca (tengah) ketika menjalani sesi latihan di padang Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu baru-baru ini. - Foto Mohd Syafiq Ambak

Rahman cabar Terengganu bangkit benam Sime Darby

KUALA TERENGGANU: Terengganu perlu berwaspada dan membuang sikap terlalu yakin apabila turun melayan kunjungan Sime Darby FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Pengendalinya, Abdul Rahman Ibrahim, berkata sudah pasti kelab yang berpangkalan di Kuala Lumpur itu akan tampil mencipta kejutan untuk mencari kemenangan sulung.

Beliau berkata, kekalahan di tangan Sarawak, Sabtu lalu masih dirasai bukan saja pasukan, malah penyokong setia Terengganu dan perlu bangkit bagi menebus kekalahan itu.

"Pemain seharusnya menjadikan kekalahan lalu itu satu pengajaran berguna supaya perkara sama tidak diulangi bertemu Sime Darby.

"Saya mahu pemain lupakan kekalahan itu sebaliknya memperbaiki kelemahan lalu dalam perlawanan malam esok (malam ini).

"Sudah pasti Sime Darby turun dengan semangat luar biasa untuk mencari kemenangan sulung selepas berada di tangga terbawah liga selepas kalah dalam dua perlawanan awal," katanya yang ditemui selepas latihan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Bekas pengendali kebangsaan itu berkata, dia berasakan satu perlawanan sengit bakal ditampilkan kerana masing-masing mahu mengutip mata.

Katanya, sokongan dan bantuan daripada pemain ke-12 diharapkan dapat membantu menaikkan moral skuad Penyu merakamkan kemenangan.

"Kalau mahu ikutkan, kita bukan saja sudah bersedia untuk perlawanan ini, malah memiliki kelebihan apabila beraksi di gelanggang sendiri. Justeru, pemain perlu buktikan kerana mereka yang menentukan segala-galanya di atas padang," katanya.

Berita Harian X