Jumaat, 6 Februari 2015 | 9:27am

Ajax tumpas 1-0, ketinggalan 12 mata di belakang PSV

PEMAIN Ajax Amsterdam, Niklas Moisander (kiri) melompat untuk menanduk bola sambil dihalang pemain AZ Alkmaar, Jan Wuytens (dua dari kiri) dan rakan sepasukan Nemanja Gudelj dalam aksi Liga Belanda, awal pagi tadi. - Foto AFP

AMSTERDAM: Ajax ditimpa kekalahan kali kedua dalam tempoh seminggu apabila tewas 1-0 di gelanggang sendiri ketika menentang AZ Alkmaar pada saingan Liga Belanda, awal pagi tadi.

Kekalahan itu menyebabkan tumpuan Ajax untuk merangkul gelaran kelima berturut-turut semakin pudar.

Anak didik Frank de Boer itu kini ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu, PSV Eindhoven.

Ajax terpaksa bermain dengan 10 orang pada minit ke-62 apabila Niklas Moisander dibuang padang selepas mengasari penyerang, Aron Johansson ketika pemain itu dalam posisi untuk menjaringkan gol.

Johansson tidak mensia-siakan peluang keemasan 14 minit kemudian dan menjaringkan gol kemenangan pada perlawanan.

PSV yang bermain dengan 10 orang pada kelmarin menewaskan NAC Breda 2-0 selepas pemain pertahanan, Jetro Willems dibuang padang pada minit pertama akibat terjahan keras ke atas Gill Swerts. - AP

Berita Harian X