Isnin, 2 Februari 2015 | 1:36pm
JUARA Terbuka Australia 2015, Novak Djokovic mempamerkan trofi kejuaraan yang dimenangi di Melbourne. - Foto EPA
JUARA Terbuka Australia 2015, Novak Djokovic mempamerkan trofi kejuaraan yang dimenangi di Melbourne. - Foto EPA

Djokovic lega dapat atasi 'krisis fizikal'

MELBOURNE: Novak Djokovic merasakan dia kini berada di kemuncak kariernya dan mampu menjulang beberapa lagi gelaran Grand Slam selepas memenangi final Terbuka Australia 2015 yang disifatkan mengatasi 'krisis fizikal.'

Jaguh tenis Serbia itu menunjukkan mengapa dia memegang status pemain nombor satu dunia dengan kemenangan 7-6 (7/5), 6-7 (4/7), 6-3, 6-0 ke atas pilihan keenam dari Britain, Andy Murray, semalam.

Kemenangan di Australia menyaksikan Djokovic memiliki lima gelaran di Melbourne namun kejayaan kelapan Grand Slam sepanjang kariernya itu disifatkan paling istimewa.

"Saya fikir ia mempunyai makna lebih mendalam, memiliki lebih nilai kepada hidup saya ketika ini kerana saya seorang bapa dan suami," kata Djokovic.

"Ia adalah kejuaraan Grand Slam pertama saya sebagai bapa dan suami dan saya merasa amat-amat berbangga dengannya."

Djokovic dalam pada itu menambah kehidupannya di luar gelanggang sudah berubah dan dia kini belajar untuk menghargai kemenangan besar berbanding sebelum ini.

"Saya cuba untuk berada di laluan yang betul dan komited dengan sukan ini dengan cara apapun... dan cuba untuk menggunakan masa kemuncak dalam kerjaya saya di mana saya merasakan berada dalam keadaan terbaik di usia 27 tahun.

"Inilah sebab mengapa saya bermain sukan ini, untuk memenangi kejohanan besar dan meletakkan diri saya dalam posisi untuk bermain juga untuk orang di sekeliling saya," katanya.

Djokovic kini sudah menewaskan Murray dalam tiga daripada empat penampilan final Terbuka Australia iaitu pada 2011 dan 2013 namun pertemuan pada 2015 diakui paling sukar.

"Ia amat-amat fizikal, amat memenatkan. Kami berdua sudah tentu mengharungi masa sukar secara fizikal. Kamu dapat melihat saya dilanda krisis pada penghujung set kedua dan permulaan set ketiga.

"Saya hanya merasa amat penat dan memerlukan sedikit masa untuk kembali mendapatkan tenaga dan beraksi. Itulah yang saya lakukan," katanya.

Gelaran Grand Slam kelapan Djokovic begitupun masih jauh berbanding beberapa legenda tenis lain seperti Roger Federer (17), Rafael Nadal (14), Pete Sampras (14), Emerson (12), Rod Laver (11), Bjorn Borg (11) dan Bill Tilden (10). - AFP

Berita Harian X