Ahad, 1 Februari 2015 | 8:31pm
JAGUH tenis Serbia, Novak Djokovic meraikan kejayaannya menewaskan pemain Britain, Andy Murray di final Terbujka Australia, hari ini. - Foto AP
JAGUH tenis Serbia, Novak Djokovic meraikan kejayaannya menewaskan pemain Britain, Andy Murray di final Terbujka Australia, hari ini. - Foto AP

Djokovic atasi Murray juarai Terbuka Australia 2015

MELBOURNE: Pemain tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic menjuarai gelaran kelimanya di Terbuka Australia selepas menewaskan jaguh Britain, Andy Murray di pentas final, hari ini.

Bintang kelahiran Serbia itu menang pertembungan empat set 7-6 (7/5), 6-7 (4/7), 6-3, 6-0 dalam tempoh 3 jam 39 minit di Rod Laver Arena itu.

Kemenangan di Australia juga gelaran kelapan Grand Slam buat Djokovic dalam tempoh lapan tahun dan hanya legenda Australia, Roy Emerson memiliki lebih kejuaraan iaitu enam yang dilakukan pada era 1960-an.

"Saya merasa amat istimewa dan berbangga dan bersyukur untuk berdiri di sini sebagai juara buat kali kelima dan berada dalam kumpulan elit seperti Sir Roy Emerson dan Rod Laver dan semua legenda dalam sukan ini," kata Djokovic.

"Adalah satu penghormatan untuk bermain di depan kamu, terima kasih yang tidak terhingga."

Djokovic kini sudah menewaskan Murray dalam tiga daripada empat perlawanan final Terbuka Australia pernah diharungi jaguh Britain itu.

Begitupun, dalam dua kejuaraan Grand Slam yang pernah dimenangi Murray, kedua-duanya dengan menewaskan Djokovic iaitu di Terbuka Amerika Syarikat 2012 dan Wimbledon 2013.

Kemenangan menyaksikan Djokovic mengekalkan ranking nombor satu dunia apabila ATP mengeluarkan senarai terbaharu dengan Murray akan menghuni tangga empat teratas.

"Saya mempunyai peluang dalam tiga set awal. Dan selepas itu set keempat, dan dia bermain dengan amat baik," kata Murray.

"Pukulan balas yang dibuatnya ke arah garisan base. Sekali dia memperoleh break, dia mengurangkan sedikit tekanan dan hanya menunggu masanya. Saya tidak sempat bangkit." - AFP

Berita Harian X