Sabtu, 13 Disember 2014 | 3:01pm

AUG 2014: Sharmini bantu Malaysia menang emas Kumite wanita

PALEMBANG: Pasukan Kumite wanita negara menghadiahkan sebutir pingat emas bagi acara berpasukan pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) Ke-17 di gelanggang Graha Serbaguna Jakabaring di sini.

Atlet negara, S Shree Sharmini memastikan emas buat negara apabila menamatkan perlawanan terakhir dengan kemenangan yang amat berharga untuk Malaysia mengatasi Indonesia 2-1.

Sebelum pertarungannya, kedudukan Malaysia seri 1-1 dengan Indonesia, selepas peserta kedua negara M Mathivani tewas selepas peserta pertama A Nisha menyumbang kemenangan sulung untuk negara.

Sharmini yang pernah meraih gangsa Sukan Asia kelihatan lebih tenang sebelum menewaskan Merlin Entamoing dengan kemenangan 2-0.

Nisha pula menang kepada Galuh Andayani 4-2 manakala Mathivani tewas dengan Devina Dea, 0-8. Terdahulu, gangsa menjadi milik pasukan Thailand yang dibarisi oleh Paneema Raksachart, Arm Sukkiaw dan Tiipawan Khamsi selepas mereka tewas kepada trio Indonesia dengan 1-2.

Malaysia mendapat laluan mudah ke final selepas Laos tidak menghantar pasukan mereka hari ini.

Sharmini berkata walaupun berasa sedikit gementar, semangat sepasukan mendorongnya lebih fokus di gelanggang bagi meraih mata kemenangan kepada skuad karate negara.

"Ketika saya masuk ke gelanggang, kami seri 1-1 jadi saya perlu berhati-hati untuk tidak memberikan mata buat lawan, ketika mendahului 2-0 saya terus bertahan dan tidak memberi peluang kepada pihak lawan untuk menyepak kerana ia akan memberikan tiga mata," kata pelajar Universiti Putra Malaysia itu.

Sementara itu, pasukan kumite lelaki menerusi G Theeban, Prem Kumar serta K Teagarajan terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa apabila tewas 0-3 ketikabertarung dengan Indonesia.

Teagarajan kalah 2-4 kepada Anggoro Kriswanto, Prem tumpas 9-12 kepada M Ichsan dan Theeban tewas 2-5 kepada Alin Sukma.

Thailand meraih pingat emas mengalahkan Indonesia 3-2. Thailand mendapat laluan mudah ke final apabila pasukan Myanmar tidak menghantar pasukan.

Jurulatih negara, S Sukumaran berkata secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan pencapaian enam pingat emas dua pingat perak dan enam pingat gangsa.

"Sasaran saya ialah lima emas dan mereka berjaya mengatasinya, saya puji semangat sepasukan mereka," kata Sukumaran. - BERNAMA

Berita Harian X