LONDON: Tottenham tergelincir pada kedudukan pertengahan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas tewas mengejut kepada Stoke City 2-1 di tempat sendiri, malam ini.
Tambah perit, pemain pertahanan tuan rumah, Kyle Naughton dilayangkan kad merah di White Hart Lane.
Bekas penyerang Barcelona, Bojan Krkic menyumbat gol pertama untuk Stoke hasil satu usaha individu yang cantik pada minit kelima dan Jon Walters menggandakan jaringan untuk pelawat pada minit ke-33.
Nacer Chadli merapatkan jurang untuk Spurs dengan gol pada minit ke-77 tapi gagal melakukan sesuatu untuk mencuba sekurang-kurangnya mendapatkan satu mata.
Naughton dibuang padang pada minit ke-85 kerana mengasari Victor Moses.
Dalam perlawanan lain, Newcastle meneruskan rentak hebat menewaskan West Bromwich Albion 2-0 dan melonjak ke tangga ketujuh liga hasil jaringan Ayoze Perez dan Fabricio Coloccini di The Hawthorns.
Everton pula bangkit pada lewat babak permainan untuk seri 1-1 menentang Sunderland di gelanggang lawan. - AFP