Sabtu, 4 Oktober 2014 | 5:00pm

Masa depan Henry di New York kian kelam

NEW YORK: Bekas bintang bola sepak Perancis, Thierry Henry tidak lagi menyembunyikan tentang masa depannya bersama kelab Liga Major Amerika (MLS) New York Red Bulls selepas bosnya, Gerard Houllier mengatakan dia tidak akan kembali ke kelab itu musim depan.

Houllier yang juga pengarah global Red Bulls, memberitahu majalah France Football yang diterbitkan kelmarin yang Henry semakin pasti meninggalkan MLS selepas lima musim di benua itu.

Begitupun, bekas penyerang berbisa Arsenal berusia 37 tahun itu dikatakan akan meneruskan kerjayanya bersama kelab lain berbanding menggantung butnya.

BINTANG New York, Thierry Henry (kanan) bersalaman bersama bekas jurulatih Amerika Syarikat yang kini melatih kelab Los Angeles Galaxy, Bruce Arena, selepas pertembungan kedua-dua pasukan itu, minggu lalu. - Foto AFP
BINTANG New York, Thierry Henry (kanan) bersalaman bersama bekas jurulatih Amerika Syarikat yang kini melatih kelab Los Angeles Galaxy, Bruce Arena, selepas pertembungan kedua-dua pasukan itu, minggu lalu. - Foto AFP

Dan komen balas yang dibuat Henry, semalam ialah "Apabila kamu berjumpanya, tanya kepadanya. Tanya apabila kamu bertemunya."

Tindakan Houllier memaksa jurulatih Red Bulls, Mike Petke kehilangan kata-kata mengenai dua orang penting di kelab itu.

"Saya tidak boleh memberi komen kepada apa yang Gerrard katakan. Apa yang boleh saya cakap ialah saya tidak mengetahui apapun dan saya juga percaya orang lain sama seperti saya.

"Hanya Thierry mengetahui apa yang akan berlaku tahun depan dan dia akan membuat pengumuman itu apabila dia merasa selesa untuk melakukannya."

Henry yang pernah menyarung jersi Barcelona dan Monaco sudah meledak 50 gol sepanjang penampilannya di MLS termasuk sembilan dalam 27 perlawanan musim ini. - AFP

Berita Harian X