Jumaat, 3 Oktober 2014 | 8:29pm

Tunku Ismail dilantik penasihat Presiden FAM

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (kiri) bersalaman bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas sidang media Mesyuarat Pengurus Pasukan Bola Sepak Negara di Kuala Lumpur, hari ini. Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah turut melantik Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai penasihat baginda di dalam pembangunan bola sepak negara. - Foto BERNAMA
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (kiri) bersalaman bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas sidang media Mesyuarat Pengurus Pasukan Bola Sepak Negara di Kuala Lumpur, hari ini. Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah turut melantik Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai penasihat baginda di dalam pembangunan bola sepak negara. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilantik sebagai penasihat kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, hari ini.

Tengku Abdullah bertitah, pelantikan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) itu bertujuan untuk membantu FAM dalam memantapkan lagi keseluruhan pasukan senior dan junior kebangsaan.

Tunku Ismail sebelum ini terkenal dengan kelantangan baginda dalam menyuarakan pendapat bagi memastikan mutu bola sepak negara terus diperjuangkan.

Tunku Ismail ketika ditanya mengenai pelantikan tersebut, baginda bertitah akan memberikan cadangan serta perancangan terbaik ke arah mencapai visi dan misi FAM dalam mewujudkan satu pasukan kebangsaan yang kompetitif.

"Penekanan penting dalam disiplin pasukan, visi dan misi, sasaran pasukan kebangsaan dan juga usaha menaik taraf Liga Malaysia yang sangat penting dalam membantu menaikkan taraf skuad kebangsaan.

"Saya mahu melihat kemajuan pasukan kebangsaan dalam semua aspek, bukan sahaja kualiti liga, tetapi pencapaian pasukan kebangsaan kita. Tetapi saya tahu hasil bukan boleh dapat dalam setahun atau dua tahun, kalau kita mula melakukan perkara yang betul sekarang, dalam beberapa tahun akan datang kita akan dapat satu pencapaian," titah Tunku Ismail.

Baginda bertitah demikian selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa pasukan kebangsaan yang dipengerusikan oleh Tengku Abdullah di Hotel Royal Chulan di sini.

Mesyuarat itu turut dihadiri ketua jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh dan jurulatih Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee serta pegawai tertinggi FAM.

Sementara itu dalam mempersiapkan skuad Harimau Malaya menghadapi Piala AFF Suzuki 2014, Tengku Abdullah bertitah pasukan kendalian Dollah akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan Filipina, Syria dan Vietnam.

Tarikh ketiga-tiga perlawanan persahabatan itu akan dimaklumkan kemudian.

Berikutan itu, tarikh final Piala Malaysia ditukar kepada 1 November ini, sekali gus melibatkan perubahan tarikh bagi suku akhir kedua (10-11 Oktober) dan separuh akhir pertama (17-18 Oktober) dan separuh akhir kedua (24-25 Oktober) bagi memastikan pemain yang beraksi di Piala AFF Suzuki dapat membuat persiapan terbaik.

Piala AFF Suzuki 2014 akan diadakan di Singapura dan Vietnam bermula 22 November-20 Disember ini. - BERNAMA

Berita Harian X